PUTRAJAYA – Sebuah pesawat latihan, Piper PA28-181 dengan pendaftaran 9M-SKF, dilaporkan tergelincir dari landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka pada 4.09 petang hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Datuk Kapten Norazman Mahmud yang mengesahkan kejadian itu berkata, pesawat yang dikendalikan oleh Akademi Penerbangan Malaysia (MFA) itu hilang kawalan semasa mendarat dan terkeluar dari landasan.
“Kejadian itu melibatkan seorang juruterbang pelatih yang dilaporkan selamat.
“Pesawat itu sedang dialihkan dan pemeriksaan menyeluruh di landasan sedang dijalankan bagi memastikan keselamatan operasi lapangan terbang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Norazman berkata Biro Siasatan Kemalangan Udara, di bawah Kementerian Pengangkutan, akan menjalankan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016. – BERNAMA