DHAKA- Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina meletakkan jawatan dan lari meninggalkan negara yang sedang bergolak dengan tunjuk perasaan.
Seorang pegawai beliau memberitahu Al-Jazeera, pemimpin yang berkhidmat sejak sekian lama itu telah meninggalkan negara berkenaan dengan menaiki helikopter tentera selepas peserta demonstrasi melanggar arahan perintah berkurung dan cuba memecah masuk istana perdana menteri di sini pada Isnin.
Hampir 300 maut yang mana hampir 100 orang terbunuh pada hari Ahad ekoran demonstrasi tersebut.
Keadaan masih lagi tegang pada pagi Isnin namun media melaporkan situasi bertukar kepada sambutan kegembiraan pada awal tengah hari susulan berita perletakan jawatan Hasina mula tersebar.
Dalam ucapannya kepada rakyat, Panglima Tentera, Jeneral Waker-Uz-Zaman mengesahkan perdana menteri telah meletakkan jawatan dan kerajaan sementara akan mentadbir negara ketika ini.
Beliau meminta rakyat untuk terus meletakkan kepercayaan kepada pihak tentera dan berjanji akan mengembalikan semula keamanan negara tersebut.
“Kami akan memastikan keadilan kepada semua yang terkorban dan jenayah yang berlaku semasa protes tersebut,” katanya sambil meminta orang ramai untuk terus bersabar dan berhenti melakukan keganasan serta vandalisme.
“Kami telah memanggil semua wakil politik utama dan mereka menerima undangan kami serta komited untuk bekerjasama dengan kami,” tambah beliau.
Imej-imej di televisyen negara itu menunjukkan ribuan orang cuba memecah masuk kediaman rasmi perdana menteri.
Protes di negara itu berlaku sejak sebulan lalu disebabkan kontroversi kuota pekerjaan kerajaan.
Protes itu kemudiannya bertukar kepada demonstrasi besar-besaran di seluruh negara dan seterusnya menyebabkan penentangan terhadap Hasina serta parti Liga Awami yang dipimpin beliau.- Agensi