Sebahagian rokok seludup bernilai RM7.8 juta yang dirampas polis.

KUALA LUMPUR – Kadar rokok seludup di Malaysia menurun dari 56.6% pada tahun 2023 kepada 54.8% pada Mei 2024.

Bagaimanapun, penurunan ini diakibatkan oleh peningkatan sebanyak 6.9 peratus dalam rokok dengan setem cukai palsu dari 8.7% pada tahun 2023 kepada 15.6% pada Mei 2024.

Gabungan Pengilang Tembakau Malaysia (CMTM) berkata, rokok kretek seludup kekal tidak berubah pada 7.3%.

Menurutnya, terdapat tiga jenis rokok seludup di Malaysia, iaitu rokok putih seludup, rokok kretek seludup, dan rokok dengan setem cukai palsu.

Rokok putih seludup menurun sebanyak 7.6 peratus dari 39.5% pada tahun 2023 kepada 31.9% pada Mei 2024.

CMTM dalam kenyataan berkata, pihaknya mengiktiraf dan menghargai usaha yang terpuji oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di bawah kepimpinan Ketua Pengarah, Datuk Anis Rizana Zainuddin serta agensi penguatkuasaan lain seperti Polis Diraja Malaysia dan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara dalam memerangi perdagangan rokok seludup.

Dari Januari hingga Mei 2024, JKDM berjaya menggagalkan lebih daripada 3,000 percubaan penyeludupan barangan seludup dan barang larangan.

Tindakan-tindakan ini telah menyumbang besar kepada pengurangan rokok putih seludup selaras dengan usaha Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menangani kebocoran dalam ekonomi Malaysia.

Sindiket penyeludupan semakin banyak menggunakan setem cukai palsu pada rokok seludup untuk menyembunyikan status haram mereka, menyebabkan sesetengah peruncit terpedaya memaparkan produk tersebut di rak mereka, dan mengelirukan pengguna untuk membelinya.

CMTM menggesa kerajaan untuk campur tangan dan melaksanakan penyelesaian yang lebih releven dan terkini bagi menangani lambakan rokok dengan setem palsu sambil meneruskan usaha untuk membanteras rokok seludup.

Katanya, walaupun insiden rokok seludup masih menjadi sebahagian daripada kerugian hasil eksais yang
ketara bagi Kerajaan, penurunan kadar rokok seludup menunjukkan bahawa langkah-langkah yang dilaksanakan oleh kerajaan berada di landasan yang betul.

Penurunan rokok seludup juga memberikan peluang kepada kerajaan untuk mempertimbangkan pelaksanaan kalendar cukai tahunan untuk rokok, rokok kretek, cerut kecil, dan produk tembakau yang dipanaskan dengan kenaikan cukai yang sederhana dan boleh diramal bagi menghalang pengguna daripada beralih kepada rokok seludup akibat ketidakmampuan membeli rokok sah.

Pendekatan ini boleh menjana hasil eksais tambahan untuk kerajaan mencapai objektif fiskalnya, ujar CMTM. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast