Kementerian Kewangan

KUALA LUMPUR- Enam syarikat pelaburan kerajaan (GLIC) utama memberi komitmen secara kolektif untuk melabur dana RM120 bilion bagi tujuan pelaburan langsung domestik (DDI) dalam tempoh lima tahun akan datang.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini berkata, ia adalah sampingan terhadap pelaburan-pelaburan dilakukan entiti berkenaan dalam pasaran modal awam bernilai RM440 bilion.

Katanya, penglibatan Khazanah Nasional, Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Tabung Haji (TH) dan Lembaga Angkatan Tentera (LTAT) merupakan fasa pertama GEAR-uP yang digariskan dalam kerangka Ekonomi Madani.

Perdana Menteri bersama ketua-ketua GLIC selepas taklimat program GEAR-uP
Foto FB Anwar

Menurut kenyataan itu lagi, pelaburan berkenaan disasarkan kepada industri yang memiliki pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) seperti peralihan tenaga dan pembuatan canggih terutamanya dalam bidang semikonduktor.

Ia juga akan merangkumi pelaburan di seluruh kitaran perniagaan seperti syarikat pemula (start- ups), modal teroka (venture capital) serta syarikat peringkat pertengahan dan akhirnya untuk menyokong penyenaraian saham syarikat-syarikat tersebut.

“Dengan jumlah Aset di Bawah Pengurusan (AUM) bernilai lebih daripada RM1.8 trilion, yakni sekitar saiz keluaran dalam negeri kasar (KDNK) nominal, GLIC tersebut mempunyai kekuatan kewangan untuk menggerakkan lonjakan negara di rantaian nilai ekonomi dan menambah baik mutu kehidupan rakyat,” kata Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiap GLIC akan mempunyai bidang tumpuan masing-masing untuk menerajui program GEAR-uP,” tambahnya.-MalaysiaGazette