KUALA LUMPUR – Tidak mahu membayar ganti rugi kenderaan yang dipinjamkan suspek menjadi punca salah seorang daripada dua beradik diculik pada Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superitenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata, pihaknya berjaya menahan lima lelaki termasuk dua warga asing.
Terdahulu, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berumur 29 tahun menyatakan dua adik lelakinya diculik jam 8.45 pagi pada hari kejadian.
“Dalam kejadian jam 7 pagi, pengadu yang berada di rumah telah didatangi beberapa lelaki tidak dikenali menaiki sebuah kereta dengan bersenjatakan batang besi.
“Suspek telah memanggil dua adik lelaki pengadu dan membawa mereka beredar dari rumah itu sebelum salah seorang adiknya balik semula ke rumah tersebut beberapa minit kemudian.
“Bagaimanapun, wanita itu cuba menghubungi adiknya yang tidak pulang itu menggunakan telefon namun gagal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, bertindak atas maklumat polis memberkas kesemua suspek serta menyelamatkan mangsa berusia 26 tahun di Bandar Bukit Raja, Klang jam 2.30 pagi tadi.
Tangkapan dibuat oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat dibantu JSJ Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor.
“Hasil semakan ke atas suspek mendapati, dua lelaki tempatan berusia 22 hingga 31 tahun itu mempunyai enam rekod jenayah dan dua rekod jenayah lampau.
“Seorang lagi lelaki tempatan berusia 21 tahun serta dua lelaki warga asing berumur 35 dan 37 tahun tidak mempunyai sebarang rekod lampau,” jelasnya.
Menurut Ahmad Ridhwan, polis turut merampas sebuah kenderaan yang dilaporkan dicuri di kawasan Klang dan beberapa peralatan pecah rumah serta pelbagai barangan hasil kegiatan pecah rumah serta curi.
“Dengan tertangkapnya suspek, polis berjaya menyelesaikan kes melarikan orang dan sekurang-kurangnya lima kes pecah rumah di sekitar daerah Kuala Langat serta satu kes curi kenderaan di Klang.
“Susulan itu, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Telok Datok bagi permohonan reman dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan, Seksyen 379 A Kanun Keseksaan serta Seksyen 457 kanun yang sama,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















