Friday, September 13, 2024
Home Sukan Olimpik Paris: Nur Dabhita mara ke final

Olimpik Paris: Nur Dabhita mara ke final

Nur Dhabitah Sabri. Foto FB MSN.
KUALA LUMPUR – Penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri menempah tiket ke peringkat akhir acara 3 meter (m) papan anjal individu wanita Sukan Olimpik Paris 2024 selepas beraksi cemerlang pada separuh akhir hari ini.
Dengan kutipan 286.95 mata, atlet berusia 25 tahun itu menamatkan saingan di tempat kelapan di Pusat Akuatik Saint-Dennis, Paris.

Keputusan itu menyaksikan dia menyertai 11 penerjun lain mara ke peringkat perebutan pingat yang dijadualkan berlangsung pada malam esok.

Pada terjunan pertama, Dhabitah bermula cemerlang dengan menduduki tangga kedua dengan mengumpul 67.50 mata.
Namun dua terjunan selepas itu menyaksikan penurunan dengan masing-masing 55.50 dan 46.50 mata meletakkan Dhabitah di tangga ke-12 selepas terjunan ketiga.
Pemenang pingat perak Sukan Komanwel 2022 itu kembali pada terjunan keempat dengan mengumpul 57.00 mata pada darjah kesukaran 3.0 dengan membaiki kedudukan ke tangga ke-10.
Pada terjunan terakhir pula, Dhabitah terus bangkit apabila berjaya mengumpul 60.45 mata.
Sementara itu, penerjun China, Chen Yiwen mengungguli saingan separuh akhir dengan 360.85 mata diikuti Maddison Keeney dari Australia di tempat kedua dengan 334.70 mata dan Chiara Pellacani (342.75).
Sukan Olimpik Paris 2024 merupakan penampilan ketiga Nur Dhabitah selepas Tokyo 2020 dan Rio 2016.
Pada penampilan di Olimpik Tokyo 2020, dia menamatkan saingan di tempat keempat pada aksi final selepas mengutip 326.15 mata. – MalaysiaGazette