Tan Chun Hooi didakwa atas tuduhan menipu tawaran kerja sebagai pramugari kepada seorang wanita sehingga mengakibatkan kerugian lebih RM300,000.

GEORGE TOWN – Seorang penggunting rambut didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan memperdayakan seorang wanita mendapatkan pekerjaan pramugari sehingga mangsa kerugian RM358,015, pada tahun lalu.

Bagaimanapun,Tan Chun Hooi, 37, mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin.

Mengikut pertuduhan, Chun Hooi telah memperdayakan seorang wanita berusia 38 tahun untuk mempercayainya berupaya mendapatkan pekerjaan sebagai pramugari di Singapore Airlines.

Perbuatan tertuduh itu mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM358,015 dengan cara memasukkan wang ke dalam akaun bank CIMB milik tertuduh.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara 3 Julai hingga 15 Disember 2023 di Paya Terubong, Ayer Itam, di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjarakan tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat dan dikenakan denda.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atikah Ashraf Ali mencadangkan jaminan RM12,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin manakala peguam yang mewakili tertuduh, Yiew De Xien memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan atas alasan tertuduh menyara neneknya dengan pendapatan bulanan RM3,000.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan sebutan semula kes pada 12 September depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast