KUALA LUMPUR – Persatuan Pemaju Hartanah Malaysia (REHDA) mencadangan supaya bank menawarkan pinjaman bersubsidi supaya rakyat boleh membeli rumah mampu milik atau rumah Madani.
Presiden REHDA Datuk Ir Ho Hon Sang berkata, pihaknya juga telah mencadangkan penubuhan amanah perumahan mampu milik nasional bagi membantu kumpulan B40 dan M40 memiliki rumah Madani.
Pemaju katanya, akan menyumbang peratusan tertentu daripada nilai pembangunan kasar (GDV) mereka kepada amanah itu untuk membantu kumpulan itu.
“Untuk terus membantu pembeli untuk mampu membeli rumah, dan atas semangat Malaysia Madani, REHDA Malaysia menyeru pemain industri lain untuk melakukan bahagian mereka.
“Sebagai contoh, bank juga boleh memainkan peranan mereka dengan menawarkan pinjaman bersubsidi untuk semua rumah mampu milik.
“Insentif lain, seperti diskaun dalam caj premium, caj pembangunan dan Dana Perkhidmatan Penambahbaikan (ISF) juga akan membantu untuk menjadikan perumahan lebih mampu milik untuk rakyat,” tambah Hon Sang.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Jabatan Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyediakan blok perumahan MADANI untuk setiap projek baharu.
Ini bagi memastikan golongan berpendapatan rendah dapat memiliki rumah.
Jelas Hon Sang, syarikat pemaju telah melaksanakan pembinaan ‘blok Madani’ sejak 40 tahun lalu.
Di Kuala Lumpur sebagai contoh, melalui Garis Panduan Perancangan Residensi Madani Kuala Lumpur pemaju perlu menyediakan 20 peratus perumahan Madani untuk pembangunan di atas lima ekar.
Harga jualan unit ini adalah antara RM150,000 hingga RM200,000 dan saiz ditetapkan pada 700 kaki persegi, 750 kaki persegi dan 800 kaki persegi.
Keperluan tersebut serta keperluan serupa yang digariskan oleh Kerajaan Negeri lain mesti dipatuhi sebelum pemaju boleh mendapatkan Kebenaran Merancang daripada pihak berkuasa tempatan.
Bagaimanapun masih terdapat isu dalam menjual rumah tersebut seperti laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC).
Laporan itu mendedahkan 28.6 peratus daripada hartanah kediaman siap tetapi tidak terjual di Malaysia untuk suku pertama 2024 berharga di bawah RM300,000.
Selain itu cabaran utama yang dihadapi oleh pemaju adalah mengenai cara menguruskan kos yang semakin meningkat yang akhirnya akan membebankan pembeli.
“Pemaju tidak mempunyai pilihan selain memilih menggunakan kaedah subsidi silang bagi memenuhi keperluan rumah mampu milik, pada asasnya menaikkan harga perumahan pasaran bebas untuk mengekalkan harga rumah mampu milik rendah, di bawah kos pembinaan.
“Keperluan yang dicadangkan, di mana satu atau dua blok penuh perlu dijadikan perumahan Madani dan bukannya peratusan yang ditetapkan, secara semula jadi akan menyebabkan peningkatan lagi dalam harga pasaran bebas bagi mereka yang tidak layak untuk perumahan mampu milik,” katanya.-MalaysiaGazette