KUALA LUMPUR – Seorang remaja perumpuan berusia 14 tahun ditahan hari ini kerana disyaki menyamar sebagai pegawai perubatan dan menceroboh Hospital Sultan Idris Shah di Serdang, Selangor semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya menerima laporan semalam mengenai seorang perempuan yang tidak dikenali berada dalam dewan bedah dan mengaku sebagai pegawai perubatan serta mahu membantu menjalankan pembedahan.
“Siasatan lanjut mendapati pada pada Khamis jam lebih kurang 8.30 pagi, pihak hospital telah mengenalpasti semula kehadiran perempuan berkenaan iaitu individu yang sama cuba mendaftarkan diri di kaunter dengan menggunakan identiti palsu.
“Pihak hospital terus menghubungi pihak polis sebelum polis berjaya membuat tangkapan ke atas seorang perempuan berusia 14 tahun sekitar jam 9 pagi di lobi hospital berkenaan untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut Wan Kamarul Azran, pemeriksaan ke atas gadis tempatan itu membawa kepada rampasan sehelai baju scrub, seluar scrub dan lanyard hak milik hospital berkenaan yang dipakai suspek.
Tambah beliau, pihaknya telahmemulakan siasatan di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan iaitu menceroboh dan menyamar sebagai penjawat awam.
Katanya, kesalahan menceroboh boleh dihukum penjara selama tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua -duanya.
“Hukuman bagi kesalahan menyamar sebagai penjawat awam pula memperuntukkan pemenjaraan maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabit bersalah,” ujarnya.
Sementara itu, Wan Kamarul Azran memberitahu, polis akan mendapatkan reman ke atas remaja itu esok bagi membantu siasatan dan pihaknya telah mengenalpasti ibu bapa suspek untuk membantu siasatan lanjut.
“Selalunya jika ada tangkapan suspek bawah umur akan panggil emak bapa atau penjaga dia..kita kena semak. Dalam kes ini, ibu suspek remaja itu akan datang ke IPD Sepang jam 9 malam ini untuk membantu siasatan,” ujarnya. – MalaysiaGazette