KUALA LUMPUR – Golongan pekerja perlu sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan serta kemahiran dalam bidang pekerjaan masing-masing ke arah menjadi pekerja mahir yang diperlukan negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, golongan itu juga perlu sentiasa meningkatkan kreativiti dan inovasi dalam pekerjaan bukan hanya untuk memajukan diri malah untuk kepentingan sesebuah organisasi dan masyarakat.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menambah, golongan pekerja dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran tinggi dapat menyokong usaha Kerajaan Madani ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara yang kembali disegani di rantau Asia.
“Kalau kita mahu menjadi sebuah negara maju, pokok pangkalnya adalah kita boleh bersaing dan untuk kita bersaing, kita perlu ada ilmu dan kemahiran.
“Inilah yang dilaksanakan oleh kerajaan melalui jabatan-jabatan untuk kita sentiasa meningkatkan kemahiran warga kerja kita dan rakyat kita.
“Sebab itu, barulah kita akan sentiasa dapat bersaing bukan saja dalam konteks pekerjaan, tetapi juga organisasi dan akhirnya dalam konteks negara kita sebab dunia akan menentukan tahap mana pencapaian kita dari segi ilmu dan kemahiran,” katanya ketika berucap pada majlis Konvokesyen Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) 2024 di sini hari ini.
Dalam majlis itu, Fadillah yang diiringi Pengerusi Indah Water Konsortium (IWK) Sdn. Bhd., Ahmad Johnie Zawawi turut menyampaikan sijil kepada seramai 380 warga kerja IWK yang berjaya menamatkan latihan dalam pelbagai bidang kemahiran.
Tambah Fadillah, selain ilmu pengetahuan dan kemahiran tinggi, golongan pekerja juga perlu meningkatkan diri dari segi inovasi dan kreativiti dalam bidang pekerjaan masing-masing.
Ia bagi memastikan mutu pekerjaan yang dilakukan dapat ditingkatkan dan ditambah baik dari semasa ke semasa sekali gus dapat diselesaikan dengan mudah dan cepat.
“Kreativiti dan inovasi itu maknanya kita sentiasa dapat memikirkan sesuatu untuk mencari penyelesaian bagi memudahkan kerja, sama ada dengan sistem, peralatan, ataupun dari bahan-bahan yang diperlukan.
“Itulah yang dikatakan negara memerlukan pekerja mahir yang berilmu, berkreativiti dan inovatif yang dapat mencari penyelesaian dan mengemukakan penyelesaian kepada apa sahaja masalah yang kita hadapi,” ujarnya. – MalaysiaGazette