LONDON – Bekas penjaga gol Manchester United David de Gea dilaporkan akan kembali ke dunia bola sepak profesional.
Pakar perpindahan, Fabrizio Romano berkata, berita terkini menyatakan bahawa De Gea telah mencapai persetujuan lisan dengan kelab Serie A, Fiorentina.
“De Gea telah bersetuju untuk menyarung jersi La Viola.
“Perjanjian lisan telah dimuktamadkan dan pengurusan Fiorentina telah menawarkan De Gea kontrak setahun ditambah pilihan lanjutan satu musim,” tulisnya di media sosial.
Romano menambah, De Gea dijadualkan terbang ke Itali dan akan menjalani ujian perubatan terlebih dahulu.
Dia akan bersaing dengan Pietro Terracciano untuk merebut posisi penjaga gol utama dalam skuad Fiorentina.
Terracciano telah menjadi penjaga gol nombor satu Florence sejak 2022.
De Gea yang bergelar ejen bebas selepas meninggalkan United musim lalu dikaitkan dengan beberapa pasukan sebelum ini namun menemui kegagalan Punca utama kegagalan perjanjian tersebut adalah jumlah bayaran gaji yang diminta pemain berkenaan yang dianggap tidak realistik.
Sepanjang 12 musim bersama United, De Gea telah membuat 545 penampilan dan berjaya memenangi trofi Liga Perdana Inggeris, Piala FA, dua gelaran Piala Liga Inggeris dan Liga Europa.
Pemain berusia 33 tahun itu dilapor bersedia untuk kembali ke Old Trafford dengan syarat dua individu, Erik Ten Hag dan John Murtough perlu meninggalkan kelab itu. – Agensi