Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar.

KUALA LUMPUR – Polis telahpun mengenal pasti suspek yang menyerang dua wanita menggunakan pisau rambo di kawasan surau Sekolah Rendah Agama (SRA) di Kelana Jaya, Petaling Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, pada masa ini pihaknya menerusi Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Petaling Jaya, sedang berusaha mengesan suspek yang merupakan seorang lelaki.

“Pihak polis memperoleh satu rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) dari rumah berhampiran tempat kejadian yang menunjukkan kereta dinaiki suspek meninggalkan kawasan surau selepas kejadian berlaku.

“Berdasarkan maklumat diperoleh, pasukan operasi sedang berusaha menangkap suspek terbabit. Setakat ini, kita masih belum mengenal pasti motif serangan kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian sekitar kira-kira pukul 1.45 tengahari semalam, suspek dipercayai warga tempatan bersenjatakan pisau rambo menikam seorang jurujual wanita berusia 26 tahun dan guru besar berusia 52 tahun dalam kawasan SRA di Kelana Jaya.

Menerusi siasatan awal, polis dimaklumkan kedua-dua mangsa dilapor tidak mengenali suspek.

Dalam pada itu Shahrulnizam berkata, pihaknya sudah merakam percakapan tujuh saksi bagi membantu siasatan, sekaligus mengenal pasti suspek terbabit.

Jelas beliau, seorang daripada mangsa iaitu guru besar sekolah dibenarkan keluar hospital dan tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, untuk membantu siasatan.

Bagaimanapun katanya, seorang lagi mangsa masih mendapatkan rawatan di Hospital Shah Alam. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast