Azizulhasni Awang. Foto FB MSN.

KUALA LUMPUR – Bekas pelumba berbasikal trek negara, Mohd Rizal Tisin berpendapat kesilapan dilakukan Datuk Mohd Azizulhasni Awang mungkin disebabkan terlalu fokus dengan strategi sekali gus tidak sengaja melepasi pacer dalam saringan pertama acara keirin lelaki Sukan Olimpik Paris 2024 semalam.

Beliau berkata, strategi yang dilakukan atlet berusia 36 tahun itu sudah bagus namun Mohd Azizulhasni seharusnya berhati-hati dengan pergerakan supaya tidak melanggar peraturan ditetapkan dalam perlumbaan keirin.

Menurut Mohd Rizal, sebagai seorang pelumba berpengalaman luas, Mohd Azizulhasni semestinya mahir mengenai peraturan ditetapkan namun terdapat beberapa perkara tidak dapat dielak menyebabkan beliau melakukan kesilapan tanpa sengaja.

“Pacer juga bergerak perlahan. Sebelum ini. Azizul tiada masalah tapi perkara ini tidak boleh dikawal,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, penganalisis sukan tempatan Datuk Dr Pekan Ramli berpendapat kesilapan demikian berkemungkinan berlaku sama ada disebabkan pelumba berusia 36 tahun itu berdepan tekanan atau terlalu bersemangat untuk memastikan beliau melepasi pusingan pertama acara kegemarannya.

“Seorang pelumba keirin yang sangat pengalaman tak sepatutnya berlaku kesilapan. Kalau cerita empat tahun sebelum Paris dengan perbelanjaan dikeluarkan, latihan persediaan dilakukan dan pengalaman buruk dari segi kesihatan.

“Kesilapan yang tidak disengajakan atau mungkin terlepas pandang, terlalu bersemangat ataupun dia ada banyak kerisauan sehingga berlakulah perkara yang semua orang tak nak berlaku,” katanya.

Ditanya mengenai kemampuan Mohd Azizulhasni untuk meneruskan kariernya sehingga temasya Olimpik Los Angeles 2028 (LA28), Pekan berkata atlet kelahiran Dungun itu tidak perlu memaksa dirinya untuk terus beraksi selepas ini.

“Ia terpulang kepada Azizulhasni sama ada beliau mahu teruskan ataupun tidak. Bayangkan acara pecut memerlukan tenaga begitu banyak walaupun kita lihat orang itu baik, kita nampak bertenaga tapi kita tidak tahu tahap kesihatan badannya,” katanya.

Atlet Olimpik tiga kali Josiah Ng pula mengakui terkejut dengan insiden menimpa Mohd Azizulhasni semalam dengan menyifatkannya sebagai satu ‘mimpi ngeri’ kepada peminat sukan tanah air.

“Jika saya dapat mengagak apa yang berlakunya, sepertinya tekanan kepada mereka berdua (Mohd Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom). Saya tidak pasti apa yang dia (Mohd Azizulhasni) buat, dia tak perlu keluar awal.

“Saya rasa tekanan kepadanya. Maksud saya, ia adalah satu tekanan besar untuk membawa pulang pingat emas pertama kita. Dan saya lihat wajah Shah dan Azizul keluar, Shah terkesan sebab itu dia berlumba seperti pelumba baharu,” katanya.

Semalam, impian negara merangkul emas pertama di Sukan Olimpik Paris 2024 lebur apabila Mohd Azizulhasni tersingkir pada saingan pertama acara keirin lelaki selepas penyertaannya dibatalkan di Saint-Quentin-en-Yvelines Velodrome.

Ketua Kontinjen Negara (CDM) Datuk Hamidin Mohd Amin kemudian memaklumkan rayuan terhadap pembatalan penyertaan Mohd Azizulhasni telah dinafikan Ketua Komisar dan wakil UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa) mengekalkan keputusan membatalkan penyertaan itu. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast