Proses pelupusan dadah menjadi abu dilaksanakan mengikut prosedur yang ketat dan terkawal setelah menerima perintah rasmi mahkamah untuk dilucut hak setelah kes berkenaan selesai dibicarakan.

MELAKA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan melupuskan 10 kilogram (kg) dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM67,400 semalam.

Pegawai menanggung tugas Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Leftenan Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, dadah berkenaan merupakan hasil rampasan dalam beberapa siri operasi penguatkuasaan sepanjang tahun lalu.

Menurutnya, proses pelupusan yang dilaksanakan mengikut prosedur yang ketat dan terkawal oleh Medivest Sdn Bhd di Bukit Rambai setelah menerima perintah rasmi mahkamah untuk dilucut hak setelah kes berkenaan selesai dibicarakan.

Leftenan Komander Maritim Norrimi Hassan

“Proses pelupusan  dilaksanakan dengan teliti bagi memastikan tiada sisa yang boleh memberi impak negatif kepada alam sekitar dan tempoh pelupusan adalah kira-kira lapan jam untuk proses penghancuran lengkap sehingga menjadi abu.

“Pelupusan ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Maritim Malaysia dalam memerangi jenayah rentas sempadan terutamanya penyeludupan dadah melalui perairan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Norrimi, sisa abu hasil pelupusan tersebut akan disalurkan kepada syarikat berdaftar yang diiktiraf untuk tujuan penanaman abu secara sah dan terkawal selaras dengan garis panduan pihak berkuasa.

“Pelupusan dadah ini juga mencerminkan kejayaan antara Maritim Malaysia, agensi penguat kuasa lain dan komuniti tempatan dalam usaha menjaga keselamatan perairan negara.

“Ia juga menandakan langkah tegas Maritim Malaysia dalam membanteras kegiatan penyeludupan dadah yang berterusan,” tambah kenyataan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast