SHAH ALAM – Klip video tular di laman sosial yang mendakwa dua individu sedang melakukan cubaan mencuri motosikal di hadapan sebuah rumah di Banting, dekat sini semalam adalah tidak benar.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, sebenarnya polis telah menerima laporan berhubung insiden itu daripada kedua-dua individu terlibat pada Jumaat lepas dan berdasarkan maklumat yang diambil, telah berlaku salah faham ketika proses menarik kenderaan berkenaan.
“Kami telah menerima laporan pada 9 Ogos lepas dari seorang perempuan tempatan berumur 35 tahun yang bekerja sebagai penarik kenderaan dan seorang lelaki warga tempatan berusia 16 tahun yang merupakan anak kepada pemilik motosikal yang hendak ditarik.
“Semakan turut mendapati ansuran motosikal itu tidak dibayar hampir setahun, justeru tiada unsur jenayah cubaan curi motosikal, malah ia hanya merupakan salah faham dan diselesaikan oleh kedua-dua pihak yang telah berdamai secara baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Ahmad Ridhwan menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat palsu yang boleh mendatangkan ketakutan sekali gus mengingatkan mana-mana pihak melakukan perkara sedemikian boleh dikenakan tindakan undang-undang sewajarnya.
Terdahulu, tular klip video berdurasi 16 saat yang memaparkan kekecohan di hadapan sebuah rumah di Kampung Kelanang, Banting apabila dua individu dikepung sekumpulan penduduk yang menyangka pasangan berkenaan merupakan dalang utama kes kecurian motosikal di kawasan terbabit. – BERNAMA