Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf bercakap pada media berkenaan majlis Jabatan Siasatan Jenayah Komersil bersama Pos Malaysia dan Syarikat Whoscall akan mengadakan Kempen Anti - Scam di Ibu Pejabat Pos Malaysia, Kuala Lumpur, Foto AIZAT ZAINAL, 12 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Sebanyak 8,011 kes penipuan panggilan (phone scam) disiasat polis dan ia membabitkan nilai kerugian lebih RM400 juta dalam tempoh tiga tahun.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, rekod itu bermula pada 2021 hingga tahun lalu.

Pihaknya mengesan sebanyak 448 kes adalah penipuan melalui penyamaran sebagai pegawai Pos Laju dengan nilai kerugian RM27,186,773.82.

Manakala bagi tahun 2024, sehingga Julai, sejumlah 1,411 kes phone scam  disiasat dengan nilai kerugian RM64,468,952.59.

“Sejumlah 87 kes adalah berkaitan penyamaran sebagai pegawai Pos Laju melibatkan nilai kerugian RM2,999,714.42.

“Angka ini adalah mesej jelas bahawa phone scam adalah penipuan yang perlu diberikan perhatian serius.

“Justeru, adalah penting untuk kita memanfaatkan teknologi bagi melindungi rakyat di dalam persekitaran siber yang sentiasa berevolusi,” katanya pada Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) dan Whoscall di sini hari ini.

MoU itu ditandatangani Ketua Pegawai Operasi Gogolook, Manwoo Joo dan Pengarah Operasi Pos Malaysia, Zaini Yahman.

Ramli berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam melindungi rakyat Malaysia daripada semua jenis penipuan.

Petugas POS Malaysia, Nureen Hannah meunjukkan aplikasi Whos Call pada majlis Jabatan Siasatan Jenayah Komersil bersama Pos Malaysia dan Syarikat Whoscall akan mengadakan Kempen Anti – Scam di Ibu Pejabat Pos Malaysia, Kuala Lumpur, Foto AIZAT ZAINAL, 12 OGOS 2024

Mengulas mengenai MoU tersebut, Ramli berkata, pihaknya memuji usaha Pos Malaysia dan Whoscall atas langkah proaktif  dalam memerangi penipuan dalam talian khususnya melibatkan phone scam.

“Inisiatif #ScamFreeMalaysia adalah bukti usaha kolektif kita dalam memerangi jenayah dalam talian dan melindungi orang awam.

“Kerjasama antara Pos Malaysia dan Whoscall adalah langkah yang signifikan dalam usaha berterusan bagi memerangi penipuan dalam talian, termasuk isu penipuan phone scam di negara kita,” katanya.

Sementara itu, Zaini berkata, pihaknya berbesar hati untuk berkerjasama Pos Malaysia dengan JSJK dan Whoscall mengenai kempen kesedaran anti-scam di seluruh negara.

Menurutnya, inisiatif itu berdasarkan program perintis yang berjaya di Perak dan mewakili satu langkah penting ke hadapan dalam komitmen terhadap keselamatan pelanggan dan kecemerlangan perkhidmatan.

“Tambahan pula, kami berbangga menjadi syarikat tempatan yang pertama untuk bekerjasama dengan Whoscall dalam melaksanakan penandaan verified numbers (nombor yang disahkan).

“Penyelesaian inovatif ini dapat mengesahkan lebih 6,600 nombor telefon operasi yang digunakan oleh pasukan kami menghapuskan ketidakpastian dan membina kepercayaan,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan sejajar dengan tujuan pihaknya di Pos Malaysia untuk membina kepercayaan menghubungkan kehidupan dan perniagaan demi masa hadapan yang cemerlang.

“Dengan menangani masalah penipuan bungkusan, kami bukan sekadar melindungi pelanggan, kami juga meningkatkan reputasi jenama Pos Malaysia sebagai penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan yang selamat dan boleh dipercayai,” ujarnya. – MalaysiaGazette