Ustaz Don Daniyal Don Biyajid

KUALA LUMPUR – Tauliah kuliah untuk memberi ceramah dan mengajar di Selangor milik pendakwah popular Don Daniyal Don Biyajid ditarik balik oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Ia disahkan Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Mohammad Fahmi Ngah kepada portal FMT ketika mengulas penularan surat pemakluman penarikan balik tauliah mengajar di Selangor dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Mengikut surat itu, tauliah Don Daniyal atau lebih dikenali Ustaz Don bersama empat individu lain ditarik balik pada 24 Julai lalu dan susulan itu semua masjid serta surau diminta tidak mengundang mereka.

“Maklumat itu sahih dan sedang dalam tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“Tak boleh dedah (punca tauliah ditarik) tapi pastinya berlaku pelanggaran,” kata Fahmi sambil menjelaskan penarikan tauliah Don Daniyal yang sepatutnya tamat 30 Jun depan dibuat jawatankuasa siasatan JAIS dan MAIS.

Artikel berkaitan: Keputusan isu ceramah Ustaz Don diketahui dalam masa terdekat

MAIS sedang teliti kenyataan bertulis Ustaz Don

MAIS belum terima kenyataan bertulis dari Ustaz Don

Ustaz Don sudah bertemu KP JAKIM – Mohd Na’im

Ustaz Don Reda Dengan Arahan Jais #MGFlash

Jun lalu, JAIS mengarahkan penangguhan ceramah atau mengajar Don Daniyal di negeri itu susulan isu pengajaran agama Islam daripada beliau yang disyaki membawa kepada pelanggaran beberapa ketetapan dalam Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

Pengarahnya Mohd Shahzihan Ahmad berkata, tindakan itu selaras titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menekankan kepada semua pemegang tauliah supaya memberi kefahaman Islam yang tepat berdasarkan sumber sahih mengikut disiplin ilmu Islam dalam kalangan umat Islam.

Fahmi berkata tindakan menarik balik tauliah Don Daniyal bersama empat lagi individu terbabit tidak dibuat secara melulu sebaliknya ada aduan berserta bukti sebelum siasatan dilancarkan.

Menurutnya, Don Daniyal masih boleh membuat rayuan terhadap tindakan itu dan perlu melalui proses ditetapkan. – MalaysiaGazette