KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya membongkar taktik sindiket dadah yang menyewa homestay atau airbnb sebagai pusat penyimpanan sebelum mengedarkannya ke pasaran tempatan dan luar negara.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Deputi Superintenden Polis Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata, pihaknya telah merampas 519 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM16.6 juta, yang mampu menjejaskan lebih 2.6 juta rakyat Malaysia dalam tiga siri serbuan 27 Mac lalu.

“Dalam serbuan pertama sekitar jam 7.20 pagi, sebuah kereta Proton Saga yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 21 tahun bersama seorang penumpang berusia 33 tahun yang kedua-duanya disyaki merupakan transporter telah ditahan di kawasan Subang Jaya, Selangor.

“Pemeriksaan di dalam kenderaan tersebut membawa kepada penemuan empat guni berisi 100 bungkusan plastik mengandungi dadah jenis methamphetamine di bahagian tempat duduk belakang dan 50 bungkusan di bonet belakang,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

“Susulan penahanan dua suspek, sekitar jam 8.05 pagi pada hari yang sama, JSJN Bukit Aman melakukan pemeriksaan ke atas sebuah rumah homestay di Subang Jaya yang dipercayai menjadi pusat penyimpanan utama sindiket.

“Hasil pemeriksaan di bahagian ruang tamu rumah tersebut menemukan 12 guni yang mengandungi 300 bungkusan plastik berisi methamphetamine dengan berat keseluruhan 312 kilogram,” tambahnya.

Difahamkan bahawa sindiket ini menyewa dengan kadar serendah RM195 sehari.

Selain homestay, suspek turut menggunakan sebuah gudang di Taman Bukit Permai, Ampang, sebagai lokasi penyimpanan, di mana polis merampas dua guni berisi 50 bungkusan syabu.

Semakan rekod jenayah mendapati hanya seorang daripada mereka mempunyai rekod di bawah Seksyen 76 Akta Eksais 1976.

Kedua-duanya bagaimanapun didapati negatif dadah dalam ujian saringan awal.

Siasatan mendapati sindiket ini mula aktif sejak September tahun lalu dan merupakan satu-satunya kumpulan yang menggunakan homestay sebagai pusat operasi mereka setakat tahun ini.

Menurutnya, bekalan dadah dipercayai diperoleh dari negara jiran melalui lorong tikus di Perlis sebelum dibungkus semula dalam kuantiti tertentu untuk pasaran tempatan dan luar negara, termasuk Indonesia dan Hong Kong.

“Sindiket ini menggunakan kenderaan MPV seperti Toyota Alphard untuk membawa masuk dadah sebelum memindahkannya ke kereta kecil bagi edaran seterusnya.

“Mereka juga menggunakan perkhidmatan kurier untuk mengedarkan bekalan dan transporter yang bertanggungjawab mengangkut dadah akan dibayar antara RM5,000 hingga RM10,000 bagi setiap trip, bergantung pada berat dadah yang dibawa,” ujarnya.

JSJN percaya masih ada saki-baki sindiket yang belum diberkas, termasuk dalang utama yang sedang dikenal pasti.

Sindiket ini beroperasi dalam sistem sel, yang mana setiap kali anggota mereka ditangkap, kumpulan baharu akan muncul untuk meneruskan operasi.

Polis menegaskan bahawa walaupun sindiket ini berjaya dipatahkan, kegiatan pengedaran dadah akan tetap berterusan kerana ia merupakan perniagaan yang memberi pulangan lumayan.

Kesemua suspek kini direman selama 11 hari sehingga 7 April 2025 bagi membantu siasatan lanjut, termasuk mengesan rangkaian sindiket yang masih bebas serta aset berkaitan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.

JSJN juga akan terus membangunkan maklumat bagi menjejak mastermind sindiket ini dan ahli-ahli lain yang masih bebas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast