KUALA LUMPUR – Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) Tahun 2024 akan dilaksanakan pada 20, 21 dan 22 Ogos 2024 melibatkan tiga mata pelajaran iaitu bahasa Melayu, sejarah dan matematik.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata, seramai 8,195 orang calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPMU Tahun 2024 di 187 pusat peperiksaan di seluruh negara.
Bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan, seramai 1,329 petugas peperiksaan telah dilantik untuk Ujian Bertulis dan Ujian Mendengar Bahasa Melayu serta 1,189 petugas peperiksaan untuk Ujian Bertutur Bahasa Melayu.
“KPM mengingatkan semua calon peperiksaan SPMU Tahun 2024 untuk merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan, serta arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung,” menurut KPM dalam kenyataan di sini hari ini.
Jadual waktu peperiksaan SPMU Tahun 2024 boleh dimuat turun dari laman sesawang Lembaga Peperiksaan melalui pautan lp.moe.gov.my.
KPM turut mengingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.
Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan boleh dimuat turun dari Sistem Pengurusan Peperiksaan Atas Talian melalui pautan sppat.moe.gov.my.
Calon juga hendaklah mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang telah ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan SPMU Tahun 2024.
“KPM mendoakan agar semua calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan sihat, selamat dan sejahtera,” katanya. – MalaysiaGazette