Dua wanita diserang oleh suspek lelaki tempatan di sebuah surau dekat Kelana Jaya, Jumaat lalu.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang bertindak menyerang dua wanita dengan pisau rambo di Surau Al-Ehsaniah Ahmadiah, Kelana Jaya, Petaling Jaya, Jumaat lalu berjaya ditahan polis, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, suspek warga tempatan berusia 46 tahun diberkas sekitar jam 1.30 pagi di rumah kenalannya.

“Suspek dipercayai bersembunyi di sebuah rumah di kawasan Kajang sebelum ditahan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan D9 Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor.

“Malah, suspek yang sedang bersembunyi di situ cuba melarikan diri melalui pintu belakang rumah, namun berjaya diberkas,” katanya secara ringkas ketika dihubungi.

Tambah beliau, polis akan memohon reman ke atas suspek di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, pagi ini.

Jumaat lalu, MalaysiaGazette melaporkan polis sedang memburu seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian serangan terhadap dua wanita di kawasan surau yang terdapat sebuah Sekolah Rendah Agama (SRA) di Kelana Jaya di Kelana Jaya.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari itu, seorang jurujual berusia 26 tahun mengalami kecederaan di kepala dan perut manakala guru besar berusia 52 tahun mengalami luka pada lengan dan tangan kiri akibat diserang lelaki berkenaan. – MalaysiaGazette

Suspek guna pisau rambo serang dua mangsa disenarai orang dikehendaki

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast