Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memberikan pencerahan kepada semua peringkat secara berkesan mengenai sistem e-invois yang dilaksanakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Pengerusi Hak Konsumer Sejahtera (HAKS), Shahir Adnan berkata, tidak dinafikan ia adalah salah satu usaha bagi meningkatkan tahap pengurusan cukai di negara ini selari dengan pertumbuhan ekonomi digital.

Bagaimanapun, katanya, sistem itu telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat, khususnya peniaga kecil dan sederhana yang mungkin berhadapan dengan penambahan kos susulan pelaksanaannya serta adaptasi teknologi belum matang selain, penambahan latihan baharu.

“Secara ringkasnya e-invois ini membolehkan pengesahan dan penyimpanan transaksi hampir masa nyata. Memenuhi transaksi perniagaan-ke-perniagaan (B2B), perniagaan-ke-pengguna (B2C) dan perniagaan-ke-kerajaan (B2G).

“Pelbagai lagi persoalan dan pendapat rakyat terutama peniaga mengenai sistem yang bakal dilaksanakan secara berperingkat ini. Pada 1 Ogos 2024, ia melibatkan perniagaan yang menjana pendapatan RM100 juta.

“Namun, setahun akan datang iaitu pada 1 Julai 2024, ia melibatkan semua perniagaan termasuk urusniaga bukan perniagaan melibatkan persatuan, kumpulan orang, koperasi, syarikat kecil dan merangkumi semua perkara,” katanya dalam kenyataan.

Shahir berkata, masih ramai lagi yang kurang yakin dan belum bersedia dengan pelaksanaan e-invois di Malaysia.

Ujarnya, sama ada caj penyelenggaraan perlu atau pun tidak, ia harus diperhalusi supaya tiada peringkat yang terbeban tidak kira orang awam mahupun peniaga.

“Kerajaan perlu mengadakan dialog dengan pihak berkepentingan, termasuk peniaga kecil dan sederhana untuk mendapatkan pandangan dan cadangan mereka sebelum melaksanakan e-invois ini secara menyeluruh pada Julai tahun hadapan.

“Ini kerana pelaksanaan secara menyeluruh bermakna semua jenis perniagaan, kecil atau besar perlu menggunakan sistem ini.

“Realitinya, ada kawasan pedalaman yang memerlukan kemudahan asas berbanding sistem baru yang masih belum teruji.

“Bayangkan Nenggiri tidak mempunyai mesin ATM di kawasannya. Adakah peniaga kecil di Nenggiri memiliki keupayaan dan latihan untuk melaksanakan sistem e-invois?” soal beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast