SAO PAULO – Lima orang maut apabila sebuah pesawat enjin kembar terhempas di sebuah ladang, berdekatan bandar Apiacas, hutan Amazon, Mato Grosso, barat Brazil, semalam.
Menurut laporan GloboNews Brazil yang memetik polis, mangsa yang terkorban termasuk pemilik perniagaan tani, Arni Spiering dan bekas presiden kelab sukan Union, cucunya, seorang pekerja syarikat itu dan juruterbang.
Pesawat King Air yang boleh memuatkan tujuh orang sedang dalam perjalanan dari Pousada Amazonia Fishing Lodge ke bandar Rondonopolis apabila ia terhempas dan meletup, menurut laporan.
Tentera Udara Brazil memaklumkan bahawa pakar dari Pusat Penyiasatan dan Pencegahan Kemalangan Aeronautik telah dihantar ke Apiacas untuk menyiasat punca nahas.
Kejadian berlaku kurang seminggu sebuah pesawat syarikat penerbangan Voepass terhempas di bandar Vinhedo, tenggara Sao Paulo yang mengorbankan kesemua 62 penumpang dan anak kapal. – Agensi