KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Manusia (Kesuma), Steven Sim Chee Keong positif dengan cadangan perubahan gaji minimum yang bakal dibentangkan pihaknya kepada Kabinet sekitar September depan.
Katanya, ketika ini Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) yang dipengerusikan oleh Tan Sri Zainal Rahim Seman sudah selesai menyediakan laporan berkaitan selepas perbincangan dengan semua pemain industri termasuklah pihak majikan, kesatuan sekerja serta wakil kerajaan.
“Ketika ini mesyuarat MPGN sudah selesai dan telah menyediakan laporan serta cadangan kadar gaji minimum yang baharu kepada Kesuma. Setelah melihat laporan itu, Kesuma juga telah menyediakan cadangan yang telah kita edarkan kepada beberapa Kementerian berkaitan bagi mendapatkan ulasan.
“Kami jangka ulasan-ulasan itu akan diperoleh pada hujung bulan ini. Selepas itu kita akan bentang kertas cadangan peringkat Kabinet bagi kadar gaji minima yang baharu pada September ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis Istiadat Konvokesyen Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) ke-27 hari ini.
Untuk makluman pada Mac tahun ini, Sim berkata, kerajaan akan mengkaji semula gaji minimum tahun ini dengan mengambil kira pandangan semua pihak termasuk majikan selain berpandukan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011.
Kerajaan menaikkan gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,500 pada Mei 2022.
Bagaimanapun, syarikat yang mempunyai kurang daripada lima pekerja diberikan pengecualian kenaikan itu sehingga 1 Jan 2023 dan dilanjutkan lagi hingga Julai tahun itu.
Pada 2023, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mencadangkan dasar gaji progresif bertujuan untuk melengkapkan gaji minimum, namun tidak secara sewenang-wenangnya kerana perlu mengambil kira kemampuan majikan serta keadaan ekonomi. -MalaysiaGazette