LONDON – Pengurus Manchester United Erik ten Hag mengakui pasukannya masih mempersia-siakan peluang terhidang di depan pintu gol lawan.

Ten Hag berkata,  barisan serangan United masih tidak tajam dalam memanfaatkan peluang dan hanya mampu menjaring satu gol kemenangan awal pagi tadi.

Selain itu, dia juga berkata, persembahan pasukannya pada perlawanan itu masih jauh dari kata-kata sempurna terutama dalam menjaringkan gol.

“Saya rasa satu ruang yang perlu kami isi ialah sentiasa harus memanfaatkan peluang dengan membunuhnya di dalam kotak penalti.

“Anda melihatnya dalam perlawanan persahabatan dan anda juga telah melihatnya ketika menentang City minggu lalu, kami mencipta banyak peluang dan kami sebenarnya tidak perlu menunggu untuk menanti gol penentu kemenangan,” katanya di laman web kelab.

Pada perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris pagi tadi, United hanya menang tipis 1-0 ke atas Fulham di Old Trafford.

Mengulas lanjut, pengendali kelahiran Belanda memberitahu, United boleh berada di kedudukan yang lebih baik dari awal namun perlu lebih tenang dan belajar untuk membunuh di depan gawang.

“Ini juga mungkin kerana permulaan musim tetapi para pemain perlu berada pada tahap kecepatan yang penuh.

“Kami mempunyai cukup ramai pemain dalam skuad yang mempunyai keupayaan untuk menjaringkan gol meskipun begitu yang paling penting ialah kami mencipta peluang,” ujarnya lagi. – Agensi