Anwar semasa berucap dalam Majlis Perasmian Penutup Program Madani Rakyat Zon Selatan dam Setahun Ekonomi Madanit di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kualiti perkhidmatan penjawat awam boleh dinilai bermula Isnin ini dan rakyat boleh melaporkan prestasi mereka.

Menurut Perdana Menteri, mereka perlu bersungguh-sungguh meningkatkan mutu perkhidmatan selepas kerajaan Pusat mengumumkan kenaikan gaji 1.6 juta penjawat awam seluruh negara semalam.

“Mulai Isnin ini setiap penjawat awam masuk kerja mengikut waktu yang ditetapkan, kerja bersungguh-sungguh dan tingkatkan prestasi.

“Rakyat boleh nilai dan jika ada kelemahan boleh laporkan kepada KSN (Ketua Setiausaha Negara) dan KKPA (Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam) supaya tindakan dapat diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Program Madani Rakyat Zon Selatan dam Setahun Ekonomi Madanit di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan pelarasan gaji secara berfasa sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional manakala pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi adalah sebanyak tujuh peratus.

Anwar berkata, kenaikan gaji itu bukan dibuat secara suka-suka tetapi merupakan satu reformasi dalam perkhidmatan awam selain mahu menambah baik kualiti perkhidmatan untuk kepentingan rakyat.

Namun beliau akui masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki dan boleh dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

“Selepas ini orang kampung tidak perlu lagi menunggu sehingga berjam-jam (untuk berurusan dengan penjawat awam dan di pejabat kerajaan),” ujar Anwar yang juga Menteri Kewangan.

Tambahnya, penilaian perkhidmatan boleh dilakukan di pejabat ran agensi kerajaan antaranya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast