Pemain Selangor FC, Mohd Faisal Halim ketika sesi panas badan pada saingan Liga Super Malaysia 24/25, Selangor FC menentang Kelantan Darul Naim FC di Stadium MBPJ, Petaling Jaya. Foto SADIQ SANI, 10 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Pemain sayap Selangor FC, Mohamad Faisal Abdul Halim mengakui masih memerlukan masa untuk mencapai prestasi maksimum meskipun telah kembali beraksi sebagai kesebelasan utama pada Piala Sultan Selangor 2024 (TSSC) malam tadi.

Pemain yang lebih mesra disapa Faisal Halim itu berkata, aksi 45 minit yang ditampilkan pada babak pertama perlawanan semalam bukanlah persembahan terbaiknya, tetapi ia menunjukkan perkembangan positif dan menjadi penanda aras untuk menilai semula tahap kemampuannya di atas padang.

“Saya rasa 45 minit itu bukanlah permainan sebenar saya. Jika dibandingkan dengan persembahan sebelum ini, ia belum mencapai tahap maksimum saya. Saya masih memerlukan masa untuk mencapai tahap tersebut dan berharap semua dapat memberi ruang kepada saya untuk mengejar semula.

“Walaupun mengalami sedikit kecederaan seperti jatuh dan tangan kiri terkepak dalam perlawanan semalam, saya dapat rasakan apa yang mengganggu prestasi saya. Tiada kecederaan serius, dan saya melihat ini sebagai kemajuan yang baik untuk diri saya. Kini, saya lebih yakin dan ingin fokus untuk meningkatkan kecergasan serta kekuatan saya,” katanya selepas perlawanan TSSC 2024 di Stadium Merdeka malam ini.

Pada aksi tersebut, Pilihan Selangor sekali lagi menjulang kejuaraan Piala Sultan Selangor (TSSC) untuk edisi ketiga berturut-turut selepas menewaskan Pilihan Singapura 2-1.

Mohamad Faisal turut beraksi pada separuh masa pertama dan hampir menjaringkan beberapa gol dalam perlawanan tersebut.

Pemain berusia 26 tahun itu berkata kemenangan skuad Gergasi Merah malam semalam memberikan suntikan semangat yang berharga kepada pasukan Selangor menjelang final Piala FA yang akan berlangsung Sabtu depan.

“Kita ke final Piala FA dengan satu matlamat, menang atau kalah. Tiada apa yang perlu disimpan, kami akan memberikan yang terbaik untuk penyokong Selangor. Kami beraksi bukan hanya untuk bertanding di final, tetapi untuk berjuang sehabis baik,” katanya.

Faisal membuat kemunculan pertama di khalayak ramai pada 16 Jun lalu dalam perlawanan Piala FA antara Selangor FC dan Negeri Sembilan FC.

Pada 5 Mei lalu, Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian badan selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya. Beliau terpaksa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama kira-kira 10 hari. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast