KUALA LUMPUR – Perselisihan faham kerana gagal pulangkan motosikal menjadi punca seorang lelaki cedera ditikam dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Semenyih, Selangor, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada orang awam pada pukul 2.51 petang.
“Hasil siasatan mendapati, kejadian berlaku akibat selisih faham antara mangsa berusia 23 tahun dengan suspek berusia 30-an.
“Perselisihan faham itu keranan suspek gagal memulangkan semula motosikal yang dipinjam pada bulan lalu.
“Akibat dimarah semasa pertemuan di rumah kakak mangsa, suspek bertindak mengambil pisau di dapur dan telah mengejar lalu mencederakan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Naazron, mangsa yang cedera akibat ditikam telah dibawa ke Hospital Kajang bagi rawatan lanjut.
Mangsa mengalami tiga kesan tikaman di bahagian belakang pinggang dan satu di bahu kiri. Dia kini dalam keadaan sedar serta stabil dan masih dirawat.
Susulan itu, polis sedang mengesan suspek untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” jelasnya.
Tambah beliau, pihaknya menasihatkan masyarakat sentiasa tenang dalam menyelesaikan apa jua permasalahan dan tidak mengambil tindakan yang melanggar undang-undang.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkait kejadian tersebut boleh menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat kes Inspektor Mohamad Faeez Norzah di talian 013-2773407 bagi membantu siasatan,” katanya.- MalaysiaGazette