PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung aduan orang awam yang mendakwa kakitangan kaunternya bersikap biadab dengan dua wanita dipercayai warga India.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai aduan itu yang dikesan tular menerusi video di aplikasi social Tik Tok, baru-baru ini.
“Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku di Bahagian Visa dan Permit di Pejabat Imigresen Putrajaya.
“Kami akan ambil keterangan pegawai bertugas dan orang awam yang berada di bahagian berkenaan ketika kejadian itu berlaku.
“Tindakan itu bagi memastikan siasatan dikendalikan secara menyeluruh dan adil, selain mengesan sekiranya ada berlaku perlanggaran etika,” katanya pada sidang media di Kompleks Setia Perkasa Parcel D hari ini.
Mengulas lanjut, Ruslin menambah, pihaknya memandang serius setiap aduan diterima daripada orang awam dan melakukan siasatan menyeluruh untuk tindakan lanjut meskipun tiada maklumat mengenai pengadu dikemukakan dalam aduan tersebut.
“Ini kerana kami tidak mahu kes yang berlaku menjejaskan imej JIM dan Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya.
Tegas Ruslin, setiap pegawai Imigresen yang bertugas di bahagian kaunter perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam melayan pelanggan.
Jelasnya lagi, setiap pegawai Imigresen dilatih dengan menjalani kursus asas selama empat bulan sebelum berkhidmat dalam jabatan selain menyertai kursus lain sepanjang perkhidmatan mereka.
“Apabila bertugas di bahagian kaunter, pegawai (imigresen) kena ada kemahiran berkomunikasi bagi mengelak salah faham dan disebabkan itulah kami amat menitikberatkan isu ini.
“Sekiranya benar berlaku salah laku (dalam aduan ini), sudah pasti tindakan akan diambil,” katanya lagi.-MalaysiaGazette