GEORGE TOWN – Seorang lelaki berusia 21 tahun dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu selepas keluar dari rumah ibunya di Taman Bukit Jambul di sini.
Bapanya, Jusfaridan Azizat, 48, berkata, Muhammad Danish Syamil, 21, keluar dari rumah pada Sabtu lalu atas alasan mahu berjumpa dengan rakannya.
Bagaimanapun, jelas beliau, anak sulung daripada dua beradik itu tidak pulang sehingga hari ini selain telefon bimbitnya juga gagal dihubungi.
“Saya dimaklumkan oleh bekas isteri bahawa ada perselisihan faham antara Muhammad Danish dengan rakannya sebelum dia keluar rumah.
“Kami telah hubungi rakan yang dimaksudkan itu serta kenalan lain namun tiada sebarang maklum balas positif mengenai keberadaan anak saya.
“Malah ini merupakan kali pertama dia tidak pulang ke rumah dalam tempoh yang lama,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Tambah Jusfaridan, pihaknya telah membuat laporan polis berhubung kehilangan Muhammad Danish kira-kira jam 12 tengah malam tadi.
“Ketika Muhammad Danish keluar dari rumah pada hari kejadian dia memakai baju-T serta berseluar hitam dan dia dilihat kali terakhir sekitar Nibong Tebal dengan menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR nombor pendapatan PRF 704.
“Sehingga jam 1 tengah hari ini, anak saya masih belum ditemui dan usaha mengesannya sedang dibuat dengan kerjasama daripada pihak polis,” ujarnya.
Sehubungan itu, sesiapa yang mempunyai maklumat atau nampak Muhammad Danish diminta menghubungi saya di talian 012 535 1349 atau balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette