Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Pegawai di Kementerian Pertahanan (Mindef) yang terbabit dengan proses perolehan aset ketenteraan akan ditukarkan setiap beberapa tahun bagi mengelakkan berlakunya ketirisan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tindakan berkenaan  selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung isu integriti di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Saya percaya perolehan ada pelbagai dan Sultan Ibrahim sebagai supreme commander (pemerintah tertinggi ATM) sentiasa mempunyai akses kepada perkara yang kita lakukan.

“Kita akan sentiasa beri kerjasama (kepada Sultan Ibrahim) namun secara spesifik buat masa ini tiada (isu) dan kita pun ikut apa yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan, baru kita tahu apa nak dibeli,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Tahun 2024 Peringkat Kementerian Pertahanan di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.

Hadir sama Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM, Pemangku Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Zulhelmy.

Sebelum ini,  Sultan Ibrahim bertitah, kedaulatan dan maruah negara akan tergadai sekiranya rasuah dan salah guna kuasa diamalkan dalam kalangan pegawai tentera.

Sultan Ibrahim bertitah, selaku pemerintah tertinggi ATM, baginda tidak akan memberi muka kepada mana-mana pegawai yang mengamalkan rasuah, salah guna kuasa serta gagal melaksanakan amanah.

Dalam pada itu Mohamed Khaled berkata, MINDEF mengambil maklum titah Sultan Ibrahim berhubung kepentingan integriti dalam kalangan pegawai dan anggota terutama membabitkan perolehan tentera bagi menjamin kedaulatan negara.

Jelas beliau, tindakan itu juga adalah sebahagian daripada usaha menyokong inisiatif kerajaan ke arah tata kelola baik membabitkan setiap cabang pentadbiran negara. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast