Kumar (tengah) menunjukkan dadah yang siap dibungkus dalam paket minimum popular bagi mengaburi mata pihak berkuasa, semasa sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Polis menahan tujuh individu termasuk pasangan suami isteri dan merampas lebih RM10 juta dadah selepas melakukan serbuan di dua homestay dan rumah teres sekitar daerah ini pada 12 Ogos lalu.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, serbuan itu dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada pukul 12.30 tengah hari hingga 2 petang.

Beliau memberitahu, rampasan itu yang merupakan kedua terbesar tahun ini setakat ini dilakukan di bandar raya ini dan Taman Desa Cemerlang, Seri Alam.

“Menerusi tiga serbuan itu, lima lelaki tempatan berusia 26 hingga 38 tahun serta dua wanita warga asing ditahan berusia 22 dan 33 tahun ditahan. Ini termasuk pasangan suami, 33, dan isteri, 31.

“Serbuan pertama dan ketiga dilakukan di sebuah pangsapuri yang sama tetapi berlainan rumah. Mereka menyewa dua pangsapuri tersebut dan menjadikannya homestay bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Johor di sini hari ini.

Katanya, pangsapuri itu dijadikan tempat memproses dan membungkus dadah jenis ekstasi sebelum diedarkan ke daerah ini termasuk di kelab-kelab malam manakala satu lagi serbuan di rumah teres.

Menurut beliau, dalam operasi tersebut pihaknya merampas 59,627 gram(g) serbuk ekstasi bernilai RM9,957,709; 93.40g ketamin (18,680); 79g pil ekstasi (RM13,193); 103.10g (RM10,310) dan 41g ganja (RM1,230).

Jelasnya, rampasan dadah berkenaan boleh digunakan seramai 199,644 penagih sekiranya terlepas ke dalam pasaran.

Katanya lagi, pihak polis turut merampas 500 milimeter cecair vape, 10 unit rokok elektronik dan alatan memproses dadah selain menyita empat kereta (RM75,800); sebuah motosikal (RM5,500) dan pelbagai jenis barangan kemas (RM10,408).

“Turut dirampas wang tunai dalam ringgit (RM42,180); matawang Thailand (Bath150); matawang Singapura (SGD$372); matang Vietnam (VND550) dan matawang Amerika Syarikat (USD$2).

“Jumlah nilai rampasan dadah RM10,001,122 manakala nilai sitaan pula RM235,257. Jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan dalam operasi ini berjumlah RM10,236,379,” katanya.

Kumar menunjukkan dalang satu sindiket dadah iaitu seorang lelaki tempatan yang masih bebas.

Kumar memaklumkan, tiga daripada suspek yang ditahan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah, ujian saringan air kencing pula mendapati enam suspek positif methamphetamine, ketamin dan benzodiazepines.

Semua suspek katanya, direman selama tujuh hari bermula 13 hingga hari ini untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Tambah beliau, pihaknya sedang memburu dalang sindiket tersebut yang masih bebas iaitu Lo Shaw Shang, 36, iaitu warga tempatan dan beralamat di Jalan Belibis 15, Taman Perling di sini.

Kumar meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Wan Roazha Wan Mat 019-8323874 atau mana-mana balai polis berhampiran.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast