Lelaki yang dipercayai membunuh isteri dan anaknya ditahan polis di Masjid Bukit Pinang, Alor Setar, malam tadi.

KUALA LUMPUR- Polis mengesahkan dua mayat perempuan yang ditemukan dalam bangunan kosong di Pekan Simpang Kuala, Alor Setar, Kedah petang semalam adalah ibu dan anak yang dipercayai dibunuh.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Siti Nor Salawati berkata, mangsa berusia 34 dan 10 tahun yang kedua-duanya dipercayai warga asing ditemukan dengan kesan kelar di leher.

Susulan itu katanya, pihak polis telah menahan suspek utama yang juga suami dan bapa mangsa di Masjid Bukit Pinang, jam 9 malam tadi untuk membantu siasatan.

Katanya, suspek warganegara asing berusia 43 tahun itu akan dibawa ke Mahkamah Alor Star, pagi ini bagi tujuan permohonan reman.

Motif pembunuhan masih dalam siasatan.

“Polis menasihati orang ramai supaya supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mendatangkan kegusaran kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, pihak polis menerima laporan daripada orang awam yang menemukan dua mayat di dalam longkang, di belakang sebuah bangunan terbiar di Lebuh Raya Sultan Abdul Halim, Alor Setar, kira-kira 5.04 petang.

Menurut Siti Nor Salawati, siasatan mendapati kedua-dua mayat  lengkap berpakaian ditemui mati dalam keadaan tertiarap dan terlentang berdekatan antara satu sama lain di dalam longkang kecil.

Mayat tanpa dokumen pengenalan diri itu ditemukan dengan kesan kelar pada leher kedua-duanya.

Mayat kedua-dua mangsa itu kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk bedah siasat.

“Polis juga meminta kerjasama daripada individu atau pihak yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian untuk tampil memberi keterangan di mana mana balai polis berhampiran, atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kota Setar, ASP Faizul Izuan bin Harun di talian 047747222,” tambahnya lagi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Mayat dua wanita ditemukan di dalam longkang