Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni

BATU FERRINGHI – Kerajaan belum mempunyai perancangan untuk melaksanakan program imunisasi vaksin membabitkan virus cacar monyet (Mpox).

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni menegaskan, pihaknya akan melakukan kajian mengenai perkara tersebut sekiranya terdapat keperluan.

Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memantau rapi perkembangan jangkitan Mpox selain telah mengeluarkan garis panduan dan kaedah perawatan yang sesuai untuk menangani jangkitan tersebut.

“Setakat ini, kita (KKM) tidak bercakap (perbincangan) secara rasmi mengenai vaksin Mpox dan sekiranya ada kita akan buat kajian sepenuhnya mengenai keperluan berkenaan.

“Kalau kita lihat pada garis panduan mengenai jangkitan ini ia boleh dicegah sekiranya individu melakukan langkah-langkah kebersihan kendiri dan amalan pencegahan lain.

“Selain itu, simptom jangkitan Mpox biasanya jelas dilihat melalui tanda fizikal seperti tompok-tompok di badan serta boleh dirasai sendiri oleh pesakit,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian kepada lemberita selepas merasmikan Persidangan Saintifik Kesihatan Sempadan Malaysia-Thailand ke-34 di Bayview Beach Resort di sini.

Mengulas lanjut, Lukanisman berkata, tiada jangkitan kes baru membabitkan Mpox dilaporkan dalam negara setakat ini namun kerajaan mengawal pintu masuk untuk memantau jangkitan dari negara-negara jiran.

Jelas beliau, kerajaan juga tidak mempunyai sebarang halangan bagi rakyat tempatan yang ingin ke luar negara.

“Setakat ini, proses yang kita lakukan adalah sama seperti ketika pandemik iaitu bekerjasama dengan agensi berkaitan dalam memastikan pemantauan di semua pintu masuk antarabangsa seperti lapangan terbang serta sempadan.

“Sehubungan itu, orang ramai diingatkan untuk merujuk kepada sumber rasmi KKM bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai ciri-ciri jangkitan Mpox dan langkah pencegahan yang boleh diambil,” katanya. – MalaysiaGazette