Mohamad Haris (kanan) bersama Ketua Menteri, Chow Kon Yeow pada Majlis Apresiasi bagi Syarikat yang terlibat menerusi program NTIC di Komtar.

GEORGE TOWN – Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) menerusi kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berjaya merealisasikan RM31.38 bilion pelaburan di Pulau Pinang dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan berkata, jumlah pelaburan yang memberangsangkan itu menjadi bukti keyakinan pelabur terhadap prospek jangka masa panjang yang ditawarkan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan Pulau Pinang secara khususnya.

“Pelaburan dicatatkan merangkumi sektor tumpuan dalam Pelan Pembangunan Strategik NCER seperti Sektor Pembuatan Bernilai Tinggi, Perkhidmatan Termaju dan Pertanian Moden yang seterusnya mewujudkan lebih 6,600 peluang pekerjaan dalam tempoh sama.

“Prestasi baik ini akan menjadi pemangkin kepada NCER untuk terus memacu pelaburan dan pembangunan ekosistem perniagaan untuk separuh kedua tahun ini dengan memanfaatkan kelebihan serantau yang ada di NCER khususnya dalam sektor elektrik & elektronik (E&E) dan semikonduktor,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohamad Haris.

Mengulas lanjut Mohamad Haris berkata, dalam tempoh enam bulan tahun ini, sebanyak 16 buah syarikat PKS tempatan di negeri ini telah dimudahcara melalui geran padanan bagi meningkatkan rantaian nilai di bawah program NTIC menerusi inisiatif Pusat Kecemerlangan (CoE) dan Teknologi dan Inovasi (T&I).

“Manakala seramai 144 pekerja tempatan telah diluluskan untuk menjalani latihan peningkatan kemahiran teknikal di bawah inisiatif Program Meister Teknologi Lanjutan (ATMP).

“NTIC merupakan program di bawah inisiatif Lembah Teknologi NCER yang memfokuskan kepada aktiviti berkaitan penyelidikan, pembangunan produk dan reka bentuk khusus.

“Program ini juga berperanan sebagai platform untuk syarikat besar tempatan (LLC), syarikat multinasional (MNC), syarikat pemula, teknokrat individu dan usahawan muda untuk menjalankan aktiviti berteknologi dan bernilai tambah tinggi di NCER serta seterusnya menghasilkan Harta Intelek (IP) mereka sendiri,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan bangunan NCER Technology Innovation Centre (NTIC) yang dibangunkan di Bayan Lepas telah siap dan akan beroperasi tidak lama lagi.

“Ini secara langsung akan merancakkan lagi aktiviti yang inovasi, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta meningkatkan rantaian nilai kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang mana ia bakal mengukuhkan lagi kedudukan Pulau Pinang sebagai sebuah hab teknologi dan inovasi di rantau ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast