KUALA LUMPUR- Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) akan mewajibkan pemasangan dan pelaksanaan Kod QR ke atas semua vesel Penangkapan Ikan Laut Dalam (Zon C2) mulai 2026.
Ketua Pengarahnya, Datuk Adnan Hussain berkata, pemasangan kod QR itu akan diluaskan kepada vesel penangkapan ikan Zon C.
“Pelaksanaan teknologi inovatif ini diharapkan dapat mempertingkat pengurusan sumber perikanan negara melalui pemantauan vesel penangkapan ikan tempatan seluruh Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Arahan itu sejajar dengan pelancaran Sistem Identifikasi Vesel (SIV) melalui teknologi imbasan kod QR, hari ini.
Menurut kenyataan itu, pelancaran SIV membantu DOF dalam membanteras masalah perikanan haram, tidak dilaporkan dan tidak diregulasi di Malaysia seperti isu pengklonan vesel tempatan dan ketirisan sumber perikanan ke negara jiran.
Katanya, SIV itu dibangunkan DOF bagi menentukan ketulenan vesel tempatan dengan kos sebanyak RM602,500 pada 2020 dan diperluaskan sehingga 2024.
Sistem itu juga ditambah baik daripada segi ketahanan dan reka bentuk keselamatan antaranya tahan lasak terhadap perubahan cuaca dan persekitaran marin.
Plat Kod QR versi 2.0 itu dinaiktaraf dan telah diuji ketahanan di makmal Jabatan Bioproses & Teknologi Kimia, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.
Katanya, ini terbukti melalui kes tangkapan pada Januari 2022 di Thailand melibatkan lima buah vesel tempatan yang ditahan penguatkuasa negara berkenaan.
Ketika pengecaman dibuat, empat vesel penangkapan ikan tempatan tersebut telah dikenal pasti oleh DOF dan disahkan melalui plat Kod QR yang dipasang ke atasnya.
Setakat ini, 301 daripada 500 vesel C2 di Pahang, Kelantan, Terengganu, Perlis Perak, Pulau Pinang, Johor, Kedah, Sarawak dan Labuan telah dipasang dengan sistem berkenaan.
Katanya, DOF serta agensi penguatkuasaan lain turut melakukan pemantauan melalui aplikasi SIV yang diintegrasi dengan sistem jabatan sedia ada iaitu Malaysian Fishing Vessel Record (MFVR) dan e-Lesen bagi menentukan ketulenan vesel tempatan yang dilesenkan oleh DOF.- MalaysiaGazette