KUALA LUMPUR- Polis tidak menemui sebarang elemen jenayah dalam kes kematian penyanyi Muhammad Nidza Afham Mokhtar.
Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, hasil siasatan terbaharu pihak polis adalah konsisten dengan laporan bedah siasat Hospital Shah Alam.
“Kes masih diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) seperti yang dimaklumkan Ketua Polis Selangor sebelum ini.
“Bagaimanapun, kami masih menyiasat termasuk memeriksa lokasi kejadian sama ada terdapat unsur jenayah yang mendorong kepada kematian mangsa.
“Sekiranya terdapat petunjuk baharu, kami akan mengumpul semua bukti dan mengklasifikasikan semula kes tersebut,” katanya.
Mohd. Shuhaily berkata demikian selepas menghadiri Kursus Behavioural Science di Maktab Polis Diraja Malaysia, di sini hari ini.
Tambah beliau, pasukan penyiasat turut memeriksa lokasi kejadian bagi mendapatkan rakaman CCTV atau saksi.
Pada 14 Ogos lalu, mayat Nidza Afham ditemui pemancing kira-kira pukul 7 malam iaitu kira-kira satu kilometer dari lokasi dilaporkan hilang di jambatan Sungai Klang.
Mayatnya kemudiannya dibawa ke Hospital Shah Alam (HSA) untuk proses bedah siasat.
Nidza Afham sebelum ini dilaporkan hilang jan 7.45 petang pada 13 Ogos lalu selepas keluar berjoging di Stadium Sulaiman, Klang.- MalaysiaGazette