GEORGE TOWN – Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan papan tanda Pusat Khidmat Parlimen Bukit Bendera di Tanjung Tokong pada Jumaat lalu.
Tertuduh, S. Ganesan, 53, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mohd Azlan Basri.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan khianat dengan merosakkan papan tertera gambar Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid milik Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Bukit Bendera sekali gus menyebabkan kerugian bernilai RM680.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Bukit Bendera 7A Medan Fettes, Tanjung Tokong dalam Daerah Timur Laut jam 8.13 malam pada 16 Ogos lalu.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil memohon mahkamah mengenakan jaminan setimpal namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan minima atas alasan pendapatan harian berjumlah RM40 serta perlu menang guna isteri berstatus orang kelainan upaya (OKU).
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Oktober depan bagi serahan dokumen serta melantik peguam.
Media pada Sabtu lalu melaporkan Syerleena membuat laporan polis mengenai tindakan vandalisme terhadap pusat khidmat ahli parlimen Bukit Bendera. – MalaysiaGazette