Sebahagian daripada pekerja bank yang melakukan piket di hadapan sebuah bank di Jalan Sulam, Taman Sentosa, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Tular pekerja bank menerusi Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) melakukan piket di hadapan sebuah bank di Jalan Sulam, Taman Sentosa, di sini, petang tadi.

Video piket secara aman dengan durasi selama 13 saat itu disertai seramai 35 orang dan situasi terkawal dengan kahadiran anggota polis.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, piket tersebut mendapat kebenaran polis dan tiada kejadian tidak diingini berlaku.

“Apa yang dipaparkan dalam video itu adalah piket yang dilaksanakan oleh NUBE dan ada kebenaran polis.

“Seramai 23 anggota polis ditugaskan di lokasi piket sejak pukul 5.30 petang. Piket berlangsung dari 6 hingga 7 petang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Raub berkata, piket NUBE sudah beberapa kali dijalankan di sekitar kawasan pentadbiran Johor Bahru Selatan.

Terdahulu, tular video memaparkan beberapa individu sedang berkumpul di hadapan sebuah bank sambil memegang kad-kad tertera ayat-ayat sebagai tanda protes.

Pada 21 Julai lalu, media melaporkan NUBE akan melancarkan siri piket di seluruh negara, sebagai protes terhadap semua bank bagi membantah tindakan keterlaluan ketua pegawai eksekutif bank yang cuba menggagalkan kesatuan sekerja.

NUBE mendakwa ketua pegawai eksekutif bank itu menafikan hak untuk keseimbangan kerja dan kehidupan; bebas daripada pembulian; diskriminasi, gangguan dan gangguan seksual; keselamatan pekerjaan serta hak bebas daripada usaha menggagalkan kesatuan sekerja.

Selain itu, NUBE juga mendakwa hak menghadiri latihan sama ada di Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) mahupun latihan lain dengan cuti berbayar untuk mendapatkan latihan semula dan peningkatan kemahiran turut dinafikan.

Selain beberapa lagi hak seperti imbuhan yang saksama, terbabit dalam tugas kesatuan sekerja tanpa berdepan dengan sebarang kerugian dan pembayaran 2.0 peratus cukai perkhidmatan untuk insurans perubatan keluarga juga menerima nasib sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast