Senibong Golf Club

ISKANDAR PUTERI – Champions Golf telah mengambil langkah berani menjadikan sukan golf lebih inklusif di Malaysia dengan mengubah kelab-kelab golf persendirian menjadi padang golf awam.

Misi ini bertujuan menjadikan sukan golf boleh diakses oleh semua lapisan masyarakat, termasuk golongan kurang berkemampuan, wanita, warga emas, dan golongan muda.

Terletak di Iskandar Puteri, Senibong Golf Club, yang dahulunya dikenali sebagai Poresia Golf Club, kini menjadi padang golf awam terdekat dengan Singapura.

Mulai1Januari 2024, seluruh kelab dan padang golf ini telah dibuka kepada orang ramai, menandakan perubahan ketara dari imej eksklusif kepada suasana yang lebih mesra dan terbuka.

“Misi kami jelas, iaitu untuk mendemokrasikan sukan golf dengan menjadikannya boleh diakses oleh semua,tanpa mengira latar belakang atau tahap kemahiran,” kata Matthew A. Murray, Pengarah Urusan Champions Golf.

Matthew A. Murray

Menurutnya, dalam tempoh lima tahun akan datang, syarikat ini merancang untuk membantu padang-padang golf di seluruh Malaysia membuka kemudahan mereka kepada awam.

Kini, Champions Golf mengurus sepenuhnya Senibong Golf Club dan juga Permas Jaya Golf Club secara bersama dan merancang membina pusat latihan golf air awam di Johor Bahru pada masa depan, selain meneroka peluang dengan padang golf lain di Johor.

Katanya, padang golf awam seperti Senibong Golf Club menawarkan pelbagai kelebihan,termasuk akses mudah tanpa keperluan handicap, waktu tee yang fleksibel, harga yang berpatutan, serta pangkalan pelanggan yang lebih pelbagai.

Walaupun padang golf awam mungkin tidak menawarkan privasi dan eksklusiviti seperti kelab persendirian, Champions Golf percaya bahawa manfaat aksesibiliti jauh mengatasi cabaran ini.

Champions Golf dan pengasasnya mempunyai rekod cemerlang dalam mengubah kelab golf persendirian menjadi kemudahan awam,termasuk projek-projek berjaya seperti Whaleback Public Golf Course di Australia (1981), Champions 9 Holes di Singapura (2013), dan Permas Jaya Golf Club di Malaysia (2015).

“Syarikat ini komited untuk menjadikan golf boleh diakses oleh “golongan ramai,”iaitu sesiapa sahaja yang ingin belajar dan bermain.

“Garis panduan aksesibiliti termasuk model ‘bayar dan main’, pematuhan kepada kod pakaian, pelajaran golf yang membawa kepada sijil kecekapan, serta pematuhan ketat kepada etika dan peraturan golf,” ujarnya.

Matthew menambah, dalam tempoh lima tahun akan datang, Champions Golf akan menyediakan khidmat nasihat kepada padang golf awam di seluruh Malaysia, sama ada untuk pembangunan baharu atau pengubahsuaian.

Untuk menarik minat ramai, Champions Golf menawarkan pelbagai pakej dan promosi, termasuk pelajaran di Akademi Golf, pakej ke Singapura dengan pengangkutan, promosi Hari Kebangsaan, serta acara sepertiJohor Golf Expo Qualifier dan Bridgestone ASEAN Amateur Open.

Pada bulan Oktober 2024, syarikat ini akan melancarkan Champions Turf Consultancy, dengan prosedur operasi standard yang ketat di semua venue yang diuruskannya. – MalaysiaGazette