Kazar

KUALA LUMPUR – Pelakon, Kazar Saisi menasihatkan masyarakat agar menerima setiap dugaan yang berlaku dalam kehidupan dengan berlapang dada.

Kazar, 65, turut meminta agar setiap individu tidak merungut apatah lagi terlalu bersedih setiap kali berdepan dengan dugaan.

“Kepada semua sahabat dan teman, ingatlah selalu bahawa tidak kira situasi apa pun yang sedang kita lalui sekarang, Allah telah pun memilih kita.

“Jangan bersedih atau merungut,” katanya dalam InstaStory di hari ini.

Namun Kazar tidak menyatakan lebih lanjut perkongsian tersebut sama ada berkaitan kes perceraian anaknya, Ira Kazar atau sebaliknya.

Pada masa sama, dia juga percaya setiap dugaan yang berlaku mempunyai hikmah yang tersendiri.

“Allah tahu apa yang terbaik dan dia akan berikan kita paling baik walaupun mengambil masa yang lama. Berterima kasihlah untuk segalanya. Ucap alhamdulillah,” katanya lagi.

Sebelum ini, nama Kazar kembali menjadi bualan netizen selepas tular berita pengarah, Syamsul Yusof memfailkan perceraian terhadap Ira pada 19 Ogos lalu.

Perkara itu disahkan oleh peguam menantunya itu, Azmi Rais.

Permohanan cerai tersebut bakal didengar di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor pada Selasa depan.

Untuk rekod, Syamsul dan Ira atau Faghirah Fatini Kazaruddin berkahwin pada 6 Januari 2023 di Selatan Thailand. – MalaysiaGazette