Selebriti, Anna Jobling

KUALA LUMPUR – Pelakon popular Malaysia, Anna Jobling kini berjaya mencipta nama di Indonesia selepas terlibat dalam filem sulung arahan Baim Wong berjudul Lembayung.

Filem yang dinantikan ramai itu bakal ditayangkan secara rasmi di Indonesia bermula hari ini sekaligus bukan sahaja memperkukuhkan namanya di pentas antarabangsa malah membuka pintu kepada lebih banyak peluang di negara seberang.

Anna mendedahkan selepas pembabitannya dalam Lembayung, dia menerima tiga tawaran filem baharu daripada produksi Indonesia, yang mempercayai bakat seni yang dimiliki.

“Saya sangat terharu dan bersyukur dengan kepercayaan yang diberikan oleh industri perfileman Indonesia.

“Selepas filem Lembayung, saya tidak menyangka akan menerima tawaran filem daripada tiga produksi berbeza di sini. Ini adalah peluang besar untuk saya kembangkan bakat dan karier di Indonesia,” kata Anna.

Filem Lembayung arahan Baim Wong (kanan).

Pelakon yang popular menerusi drama Melur Untuk Firdaus itu turut berterima kasih kepada Baim Wong kerana membuka jalan untuknya di Indonesia.

Menurut Anna, tanpa sokongan dan bimbingan Baim, peluang seperti ini mungkin sukar untuk dicapai.

“Baim bukan sahaja seorang pengarah yang berbakat tetapi juga seorang mentor yang banyak membantu saya. Saya berterima kasih kepadanya kerana memberi peluang kepada saya untuk terlibat dalam projek yang besar seperti ini. Beliau benar-benar membuka pintu rezeki untuk saya di Indonesia,” tambah Anna lagi.

Anna yang kini kerap berulang-alik antara Malaysia dan Indonesia melihat perkembangan kariernya sebagai satu langkah positif dalam mencipta nama di peringkat antarabangsa.

Dengan sokongan peminat dan peluang besar yang diterimanya, Anna berharap dapat terus menonjolkan bakatnya di kedua-dua negara.

Menyentuh mengenai pengalamannya pada tayangan perdana filem Lembayung di Jakarta, Indonesia baru-baru ini, Anna melahirkan rasa teruja apabila dikerumuni oleh peminat Indonesia yang menyambut kehadirannya dengan meriah.

“Saya tidak pernah membayangkan sambutan hangat seperti ini. Pemain industri di sini sangat profesional dan peminat pula sangat penyayang. Mereka sangat menghargai saya dan saya rasa sangat gembira dan bersyukur,” jelas Anna.

Lebih mengujakan, pada majlis tayangan perdana itu, peminat-peminat yang hadir turut meraikan ulang tahun Anna yang ke-24.

Peminat-peminat memberikan pelbagai hadiah termasuk jambangan bunga, menjadikan acara itu lebih bermakna buatnya.

Filem Lembayung bakal ditayangkan secara rasmi di Indonesia bermula hari ini.

“Saya sangat terharu apabila peminat-peminat di sini bukan sahaja menyokong kerjaya saya tetapi juga meluangkan masa untuk meraikan hari lahir saya. Ia adalah satu pengalaman yang tidak akan saya lupakan,” ujar Anna.

Selain sambutan daripada peminat, Anna juga berpeluang bertemu dengan beberapa nama besar dalam industri perfileman Indonesia seperti Christine Hakim, Prilly Latuconsina, Giorgino Abraham dan ramai lagi bintang terkenal turut hadir pada majlis tayangan tersebut.

“Bertemu dengan nama-nama besar seperti Christine Hakim dan Prilly Latuconsina adalah satu penghormatan buat saya. Saya sangat terinspirasi dengan dedikasi mereka terhadap industri ini,” kata Anna mengenai pertemuannya dengan pelakon-pelakon tersebut.

Dengan pelbagai tawaran baharu yang diterimanya, Anna kini sedang merancang untuk mengembangkan lagi sayapnya sebagai pelakon di Indonesia. Dia komited untuk memberikan yang terbaik dalam setiap projek yang bakal dilakukannya.

Filem Lembayung dijangka bakal mendapat sambutan hangat daripada penonton Indonesia dan luar negara, sekaligus memberikan impak besar kepada karier Anna Jobling sebagai bintang yang sedang meningkat naik di rantau ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast