Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Saleh bersama Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi ketika hadir pada Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno Malaysia 2024 sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 21 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengumumkan Penubuhan Jawatankuasa Pemantauan Prestasi wakil rakyat dalam kalangan Pemuda UMNO bagi memastikan mereka menjalankan amanah dengan bertanggungjawab.

Ketuanya, Dr Akmal Saleh memberitahu, jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh Setiausaha Pemuda, Hafiz Ariffin.

“Tugas jawatankuasa ini adalah untuk pastikan setiap wakil rakyat dalam kalangan Pemuda UMNO ini mesti mencapai KPI yang ditetapkan oleh jawatankuasa dari semasa ke semasa.

“Semua akan ada report card (kad laporan) untuk kita menilai sama ada prestasi mereka cemerlang atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Pemuda UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2024 (PAU 2024) di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.

Dalam pada itu Akmal berkata, bagi mereka yang berhajat untuk dicalonkan sebagai wakil rakyat pula, satu aplikasi dibangunkan supaya orang ramai boleh menyalurkan aduan-aduan terutama dalam isu-isu membabitkan lokaliti di sesuatu kawasan.

Katanya, mereka boleh tampil untuk membantu dengan melihat masalah-masalah yang berlaku dengan menyalurkannya kepada Ketua-Ketua Pemuda Bahagian di kawasan mereka.

Tambahnya, jika masalah yang berlaku tidak dapat diatasi ia sekurang-kurangnya boleh mempermudahkan urusan yang perlu diselesaikan.

“Untuk yang berhajat menjadi wakil rakyat pula, buat Pemuda Bahagian mahupun Cawangan, kita akan melancarkan “Apps” yang boleh dimuat turun oleh semua orang, bukan sahaja ahli parti semata-mata.

“Menerusi “apps” ini, orang ramai boleh membuat aduan berhubung permasalahan mereka dan isu-isu yang bersifat lokaliti, dan barisan Pemuda perlu segera tampil membantu menyelesaikan aduan-aduan ini,” ujarnya.

Katanya lagi, Pemuda hanya mahukan mereka betul-betul dapat dilihat dan dinilai samada mereka berwibawa untuk menjadi seorang ‘Yang Berkhidmat’ atau sebaliknya.

“Kalau ada aduan di tempat anda semua di dalam “Apps” ini, tetapi tiada respons daripada Pemuda, jangan mimpi, jangan mimpi, jangan mimpi untuk menjadi wakil pemuda UMNO Malaysia. Jelas?” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast