BATU PAHAT – Seorang pelajar lelaki tingkatan tiga didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini atas pertuduhan merogol remaja perempuan sebaya.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurasidah A Rahman.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa telah merogol seorang perempuan yang ketika kejadian masing-masing berumur 15 tahun.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Taman Ria, Rengit, Batu Pahat, kira-kira pukul 9 malam, hujung Jun lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun, berserta sebatan, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah juga menetapkan 9 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula bagi serahan laporan ahlak, fakta kes dan perintah.- MalaysiaGazette