Ketua Pemuda UMNO Kluang, Syed Hussein Syed Abdullah dicadangkan sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota semasa ucapan pergulungan pada Perhimpunan Pergerakan Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 22 OGOS 2024.

KUALA LUMUR – Sesi penggulungan oleh Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh yang berlangsung sebentar tadi ‘bingit’ apabila para perwakilan bertempik mencadangkan Ketua Pemuda UMNO Kluang, Syed Hussein Syed Abdullah dipilih sebagai calon parti itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Nama Syed Hussein berkumandang di dalam Dewan Tun Hussein Onn di Pusat Dagangan Dunia (WTC) selepas salah seorang daripada perwakilan di dalam dewan menyebut nama beliau.

Syed Hussein yang pada mulanya duduk di bahagian tengah dewan kemudian bangkit dan terus pergi ke hadapan selepas Akmal memanggilnya.

Dalam ucapannya itu, Akmal meminta supaya Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Rahman Dahlan yang mengikuti sesi penggulangan tersebut membawakan usul pencalonan Syed Hussein itu ke Mesyuarat MKT UMNO yang berlangsung malam ini.

Syed Hussein sebelum ini disebut-sebut sebagai antara lima nama yang akan mewakili Barisan Nasional (BN) bagi merebut kerusi berkenaan susulan kekosongan yang berlaku selepas Sharifah Azizah, 63, meninggal dunia kKetika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang, pada 2 Ogos lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September ini.

Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September ini.

Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi PRK Dun Mahkota adalah seramai 66,318 orang dengan 61,397 daripadanya adalah pengundi biasa, 401 anggota polis, 4,510 anggota tentera dan pasangan serta 10 orang pengundi tidak hadir luar negara.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac 2022, Allahyarham Sharifah Azizah Syed Zain, yang juga calon mewakili BN memenangi kerusi Dun Mahkota dengan majoriti 5,166 undi.

Daripada 66,318 pengundi di Dun Mahkota, 52 peratus adalah pengundi muda yang berusia 39 dan ke bawah. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast