Ahli-ahli Persatuan Sukan Orang Pekak Johor bergambar bersama kakitangan Affin Islamic Bank Berhad di Iskandar Puteri, Johor.

ISKANDAR  PUTERI – Sehingga kini lebih 500 peserta telah mendaftar menyertai program Bahasa Isyarat Malaysia (BIM 2024) pada 28 September depan dan jumlah tersebut dijangka menjangkau lebih 1,000 peserta.

Ini kerana antara daya tarikan program yang melibatkan tiga kategori berbeza iaitu berbasikal sejauh 20 kilometer (km), larian 5 km dan berjalan kaki 2.5 km  ialah lebih 100 hadiah cabutan bertuah.

Hadiah cabutan bertuah itu termasuk motosikal, basikal, televisyen dan beberapa lagi hadiah menarik  lain.

Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Johor (JSDeaf), Chan Kok Sheng memberitahu, program anjuran JSDeaf bukan sahaja melibatkan aktiviti amal malah bersempena  Bulan Antarabangsa Orang Pekak dan Bahasa Isyarat yang disambut  pada September setiap tahun di kebanyakan negara di seluruh dunia.

“Sebaik sahaja kami membuka pendaftaran, sehingga kini lebih 500 peserta telah mendaftar yang melibatkan acara berbasikal, larian dan juga berjalan kaki.

“Kami  jangka lebih 1,000 akan mendaftar sebelum hari program pada 28 September depan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Program BIM 2024 – Ride, Run & Walk itu mendapat  kerjasama pelbagai pihak termasuk  Affin Islamic Bank Berhad (Affin Islamic) dan Sunway City Iskandar Puteri.

Hadir sama dalam sidang akhbar itu ialah Ketua Rangkaian Perniagaan Strategik Wilayah Selatan, Bahagian Perbankan Korporat Kumpulan Affin, Suhaidah Solatin dan wakil-wakil dari  Sunway City Iskandar Puteri.

Kok Sheng menambah, cabutan bertuah itu tidak termasuk hadiah-hadiah lain yang disediakan seperti pertandingan harta karun menggunakan bahasa isyarat, menghasilkan batik, senamrobik dan beberapa aktiviti sihat lain.

Menurutnya,  program itu juga melibatikan karnival jualan barangan yang dihasilkan oleh komuniti orang pekak iaitu pada 27 hingga 29 September di Sunway Big Box Iskandar Puteri di sini.

Jelasnya, pada karnival itu, orang ramai boleh berinteraksi dengan golongan orang pekak selain mendapatkan pelbagai barangan menarik dengan harga berpatutan.

Menjawab pertanyaan, Kok Sheng berkata, program yang juga sempena ulang tahun ke-10 JSDeaf itu, antara lain bagi menyediakan dana untuk orang pekak yang berjaya dalam aktiviti sukan sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

“Dana dari aktiviti 27 hingga 29 September ini akan kita gunakan untuk pelbagai aktiviti orang pekak terutama sukan,” katanya.

Program ini terbuka kepada semua golongan dan mereka yang berminat boleh melayari facebook  JSDeaf  untuk pendaftaran. – MalaysiaGazette