Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diringi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali (tiga kiri) meluncurkan portal IHSAN MADANI pada Majlis Amanat Bersama Warga Penguatkuasa KPDN dan Pelancaran Portal IHSAN MADANI di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Foto SYADILA AMARI, 23 OGOS 2024.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghubungi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan segera berhubung isu satu portal media yang dilarang membuat liputan program agensi itu baru-baru ini.

Beliau berkata, ia bagi mengelak insiden itu berlaku lagi pada masa akan datang termasuk ke atas organisasi media lain.

“Saya akan hubungi PDRM segera supaya tiada mana-mana sekatan kepada media seperti mana yang berlaku kepada MalaysiaKini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Warga Penguat Kuasa KPDN dan Pelancaran Portal Ihsan Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali.

Semalam, wartawan portal Malaysiakini dilarang daripada membuat liputan di acara polis di Kuala Lumpur yang sepatutnya turut dihadiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Acara “PDRM Special Dialogue II” bermula dengan perbincangan tertutup antara Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan pemegang taruh antaranya agensi penguatkuasaan undang-undang lain bawah Kementerian Dalam Negeri dan juga Kementerian Kewangan.

Media sepatutnya dibenarkan membuat liputan pelancaran acara oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismal, yang dijadual pada pukul 12.30 tengah hari.

Namun sekitar pukul 11 pagi seorang pegawai media Bukit Aman memberitahu wartawan Malaysiakini mereka tidak dibenarkan masuk ke acara itu.

Namun selepas pelancaran acara, Malaysiakini dibenarkan membuat liputan sidang media oleh Saifudin bersama-sama Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Ruji Ubi.

Sementara itu, Pusat Kewartawanan Bebas menyuarakan kebimbangan berhubung larangan ke atas Malaysiakini itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast