LANGKAWI – Sebuah kereta hanyut dalam sungai manakala beberapa lagi kenderaan yang diparkir di kawasan kereta kabel di sini, rosak dibadai kepala air Terjun Telaga Tujuh, hari ini.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, hujan lebat beserta angin antara jam 1 tengah hari hingga 2.30 petang itu turut mengakibatkan gerai makanan serta pakaian di pusat peranginan itu rosak.
“Dua kafe, lapan gerai di medan selera serta masing-masing lima kios dan kedai baju dilaporkan terkena tempias kepala air itu.
“Bagaimanapun, tiada laporan polis berhubung kejadian dibuat setakat ini.
“Pihak polis sedang membuat kawalan di laluan masuk kawasan terlibat untuk mengelakkan orang awam memasuki kawasan itu sehingga air surut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Terdahulu tular beberapa rakaman video menunjukkan kepala air di kawasan Air Terjun Telaga Tujuh. – MalaysiaGazette