Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang melaksanakan empat inisiatif intervensi dalam menangani
kegusaran masyarakat mengenai isu kurikulum berat.

Empat inisiatif itu ialah Dokumen Penjajaran KSSR (Semakan 2017) Edisi 3 yang melibatkan pengemaskinian dan penyusunan semula kandungan mata pelajaran sains, matematik, bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris Tahap I sedia ada.

Inisiatif kedua ialah melaksanakan pengesanan awal literasi dan numerasi bertujuan untuk mengenal pasti murid yang belum menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira serta memerlukan intervensi awal yang bersesuaian dengan kebolehan, keupayaan dan gaya pembelajaran mereka.

Selain iu, Pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang mesra ibu bapa bertujuan untuk memudahkan laporan tahap penguasaan PBD. Pelaporan tahap penguasaan Ujian Akhir Sesi Akademik bagi semua mata pelajaran juga ditukar dalam bentuk peratus dan gred dan boleh diakses secara dalam talian.

Manakala inisiatif keempat ialah Penataran Dokumen Penjajaran KSSR (Semakan 2017) Edisi 3 disebarluaskan kepada semua guru mata pelajaran sains, matematik, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sekolah rendah menerusi penganjuran webinar.

KPM dalam kenyataan berkata, langkah-langkah ini diambil kerana pihaknya prihatin terhadap kegusaran masyarakat mengenai isu kurikulum berat seperti yang dilaporkan di laman media sosial.

“Pada bulan Mac 2024, KPM telah mengumumkan inisiatif intervensi kurikulum yang merupakan salah satu daripada hala tuju Reformasi Pendidikan yang sedang berjalan.

“Ia bertujuan menambah baik kurikulum sedia ada bagi memastikannya relevan dengan keperluan murid,” kata KPM.

Menurutnya, laporan terkini kemajuan intervensi kurikulum akan diumumkan dalam masa terdekat.

Jelas KPM, kefahaman dan kerjasama antara guru, ibu bapa dan masyarakat adalah diperlukan bagi memastikan intervensi dapat dilaksanakan dengan berkesan dan mencapai matlamatnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast