KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri yang baharu, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata UMNO membuat keputusan yang tepat apabila mencantas parasit yang boleh merosakkan parti.
Mohd Azmawi yang popular dengan gelaran Awie memuji tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memecat dan membersihkan parti daripada dalam.
“Yakinlah bahawa Datuk Seri Presiden (Zahid) membuat keputusan yang tepat sebelum ini dengan mencantas parasit yang memakan pohon UMNO yang besar dan rendang ini.
“Kita semua menjadi saksi di PRK Nenggiri mereka ini tanpa segan silu mencerca Umno yang pernah menjadi payung mereka mengecap segala macam nikmat.
“Jika diibarat sebuah pasukan bola sepak, Presiden membuat tindakan yang tepat apabila memecat dan membersihkan semua pemain yang dilihat menjual permainan.
“Barulah pasukan boleh maju dan bergerak ke depan,” katanya ketika berucap di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.
Mohd Azmawi Fikri menang pada PRK DUN Nenggiri dengan mendapat 9,091 undi dan majoriti 3,352 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Rizwadi Ismail (5,739 undi).
Ketua Pemuda UMNO Kelantan itu juga berkata, tanpa mahu mendabik dada atau bangga diri, beliau meminta semua melihat kemenangan ini sebagai satu perkara yang perlu direnung dan bermuhasabah.
Awie berkata untuk terus mengekalkan momentum yang diperolehi ini bukanlah sesuatu yang mudah.
“Janganlah kita mengherdik lawan secara berlebihan. Sebaliknya kita sama-sama perkuatkan parti kita, bawa politik kebajikan, bawa politik idea bentangkan kepada rakyat insya-Allah rakyat bersama kita,” katanya.
Dalam ucapannya, beliau turut menghadiahkan kejayaan di DUN Nenggiri kepada Ahmad Zahid dan juga bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.
“Saya hadiahkan Kejayaan ini kepada Datuk Seri Presiden dan Bossku, Datuk Seri Najib Tun Razak dan juga berterima kasih kepada anakanda Bossku Datuk Mohd Nizar, Datuk Mohd Nazifuddin dan Nooryana Najwa yang banyak membantu saya serta jentera Barisan Nasional (BN) di PRK Nenggiri.
“Alangkah berserinya perhimpunan agung ini sekiranya sosok tubuh itu (Najib) berada bersama kita pada hari ini, saya hanyalah sebagai simbol parti dalam kejayaan kita di Nenggiri, dan kejayaan ini bukan kejayaan saya tetapi kejayaan kita semua.
“Ini kejayaan parti keramat UMNO, dan sewajarnya didalam memperkasakan institusi Presiden,” katanya. – MalaysiaGazette