KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), agensi terlibat serta syarikat utiliti disaran bekerjasama dalam membuat pemetaan utiliti bawah tanah, bagi mengelakkan insiden tidak diingini berlaku terutama ketika pembangunan sesuatu projek.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pemetaan utiliti itu penting, bagi melihat keadaan di bawah tanah dengan kebanyakannya mempunyai saluran perpaipan dan kabel elektrik, yang ada kalanya tidak dipetakan pihak utiliti.
“Saya sebagai ahli Parlimen telah terima banyak aduan apabila satu kawasan itu hendak dibangunkan, kerja-kerja korek menunjukkan ada kabel besar TNB contohnya, tapi tiada dalam peta.
“Jadi saya lihat kita perlu berikan kerjasama kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk memastikan kita bukan hanya ada pemetaan di bahagian permukaan, tapi juga pemetaan utiliti. Saya serahkan kepada Datuk Bandar dan sudah pasti kami dalam kalangan ahli Parlimen kita akan menyokongnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Gotong-Royong Mega Merdeka Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pagi ini yang dirasmikan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif. – Bernama